Politik

Pas sasar majoriti 2/3 untuk ubah sempadan pilihan raya

PARTI Pas mahu mengubah sempadan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen sekiranya parti itu bersama-sama UMNO dan Bersatu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan majoriti dua pertiga.

Pengarah Strategi Pas Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, parti itu melihat kepeluan untuk mengubah persempadanan pilihan raya yang boleh menguntungkan masyarakat Melayu dan Islam.

Kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, pertambahan kerusi Parlimen boleh dibuat di negeri-negeri yang mempunyai penduduk Melayu dan Islam yang ramai selepas perikatan itu menang PRU-15 dengan majoriti yang besar.

“PAS melihat keperluan jangka masa panjang untuk memenangi PRU ke-15 dengan majoriti 2/3.

“Di saat itu perubahan sempadan pilihanraya yang menguntungkan Islam Melayu serta pertambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu boleh diusahakan,” katanya.

Bagaimanapun menurut Mohd Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, matlamat untuk mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU-15 tidak akan mudah.

Hasrat tersebut memerlukan pengukuhan tiga parti iaitu Pas, Bersatu dan UMNO yang kini bekerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Pas, menurutnya tidak mahu melihat berlakunya pertembungan antara ketiga-tiga parti tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Untuk itu Pas akan terus mempertahankan muafakat antara ketiga-tiga parti dengan sabar bagi mencapai matlamat untuk memenangi PRU-15 dengan majoriti dua pertiga.

“Laluan untuk mencapai impian itu ialah dengan terus memperkukuhkan muafakat umat antara tiga parti Melayu walaupun berhadapan rintangan.

“Pertembungan dua penjuru adalah strategi penting untuk memenangi PRU ke-15. Untuk itu PAS terus bersabar mempertahankan muafakat umat. Marilah kita melihat keuntungan jangka masa panjang untuk umat ini,” katanya.-SM

 

(Visited 306 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button