Bola SepakEkonomiSukan

Bank Rakyat anjur cabaran Jom Timbang Bola Nuri 2021

Sempena kemeriahan kejohanan akhir UEFA EURO 2020 yang sedang berlangsung, Kelab Nuri Bank Rakyat akan menganjurkan pertandingan Jom Timbang Bola Nuri 2021 menerusi media sosial rasminya bermula 9 Julai hingga 11 Julai ini.

Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, penganjuran pertandingan ini adalah untuk memanfaatkan masa terluang kanak-kanak dan remaja dengan aktiviti yang sihat agar kekal aktif dan cergas dalam persekitaran norma baharu selain untuk terus mencungkil bakat-bakat baharu bola sepak di negara ini.

“Pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menimbang bola dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia dan sebagai platform untuk mengekspresikan kebolehan bersukan mereka secara kreatif walaupun ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejajar dengan inisiatif Kementerian Pendidikan iaitu “Satu Murid Satu Sukan”, inisiatif ini juga menggalakkan pelajar sekolah untuk membudayakan sukan seiring dengan keperluan akademik,” ujar beliau.

Bank Rakyat turut mengundang pemain bola sepak profesional negara, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang kini beraksi di Kelab Bola Sepak Azul Claro Numazu di Jepun untuk bersama-sama Kelab Nuri memeriahkan lagi pertandingan ini dengan menunjukkan kemahiran menimbang bola di media sosial rasmi Bank.

Katanya, pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori umur iaitu kategori pertama, berusia antara 7 hingga 12 tahun manakala untuk kategori kedua, berumur 13 hingga 17 tahun.

“Untuk menyertai pertandingan ini, peserta perlu mengikuti platform media sosial rasmi Bank Rakyat iaitu Facebook dan Instagram dan menetapkan akaun mereka pada tetapan umum. Setiap peserta hanya boleh memuat naik maksimum 2 rakaman video timbangan bola berdurasi 1 minit setiap hari sepanjang tempoh pertandingan di laman media sosial mereka dan meletakkan tanda pagar (hashtag) #jomtimbangbolanuri di ruangan kapsyen sebagai bukti penyertaan.

“Bagi kategori sekolah rendah dan menengah, Bank Rakyat menawarkan hadiah berupa wang simpanan dalam Akaun Simpanan-i sebanyak RM300 bagi tempat pertama, RM200 bagi pemenang tempat kedua dan RM150 bagi tempat ketiga. Manakala tujuh lagi pemenang yang terpilih akan menerima wang simpanan berjumlah RM50. Selain berpeluang meraih wang simpanan melalui Akaun Simpanan-i, peserta juga akan turut menerima cenderamata Kelab Nuri. Pemenang yang merupakan ahli Kelab Nuri akan menerima hadiah tambahan istimewa,” katanya.

Pemenang akan dipilih berdasarkan jumlah timbangan bola terkumpul tertinggi pada hari terakhir pertandingan iaitu 11 Julai 2021 dan pemenang daripada setiap kategori akan diumumkan pada hari yang sama melalui laman media sosial rasmi Bank Rakyat.

Menurut Dato’ Syed Abdul Aziz, pertandingan ini merupakan inisiatif di bawah Kelab Nuri Bank Rakyat yang bertujuan untuk mendidik generasi menabung dengan menggalakkan dan memupuk amalan menabung dalam kalangan anak muda termasuk kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun dan ke bawah.

Menerusi saluran Akaun Simpanan-i, ibu bapa dapat membuat tabungan secara berterusan untuk kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah demi masa depan yang lebih terjamin lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Selain itu, dengan yuran serendah RM25 sahaja, ahli Kelab Nuri layak untuk mendapatkan pelbagai manfaat keahlian serta peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan. Ahli Kelab Nuri boleh menikmati diskaun eksklusif daripada 21 rakan dagang sedia ada kelab berkenaan antaranya Petrosains, Aquaria, Melaka Wonderland, Taman Mini Malaysia dan Kedai Canggih. Menerusi tawaran ini, ahli kelab dapat menikmati potongan harga bagi setiap bayaran tiket masuk dan harga istimewa untuk barangan terpilih.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh kunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran atau layari laman sesawang www.bankrakyat.com.my dan ikuti media sosial rasmi Bank Rakyat. – SM

(Visited 680 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button