Politik

Separuh daripada ketua kampung di Labuan letak jawatan

SEBANYAK 13 daripada 27 orang ketua kampung di Labuan yang mewakili parti Pakatan Harapan (PH) hari ini meletak jawatan dengan serta-merta dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Daripada 13 ketua kampung itu, lima daripada parti Parti Amanah Negara (Amanah), lima daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga daripada Warisan.

Peletakan jawatan mereka adalah susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb lalu sebaik Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan susulan peralihan kuasa daripada PH ke Perikatan Nasional yang dijangka membentuk Kabinet pada Selasa depan.

Yang meletak jawatan adalah ketua kampung Kg Bukit Kalam, Kg Bebuloh, Sg Lada, Sg Miri, Sg Labu, Lajau, Kg Sg Bangat, Patau-Patau 2, Pohon Batu, Bukit Kuda, Sg Buton, Sg Bedaun dan Lubok Temiang.

Ketua badan pimpinan Bersatu Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman berkata peletakan jawatan mereka ini disifatkan sebagai keputusan yang sebaiknya dilakukan berikutan ketiga-tiga parti yang mereka wakili telah menjadi blok pembangkang.

“Ia seperti sebelum ini, semasa peralihan kuasa antara Barisan Nasional (BN) kepada PH sebaik pilihan raya ke-14, yang kesemua ketua kampung diminta untuk letak jawatan. Tapi tindakan mereka hari ini, adalah mereka dahulu yang meletak jawatan sebelum diminta berbuat demikian,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Suhaili berkata kesemua ketua kampung yang menyertai Bersatu adalah juga atas dasar keyakinan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu.

“Saya difahamkan akan ada lagi menyusul meletak jawatan dan menyertai Bersatu dalam masa beberapa hari,” katanya.

Bagi Mat Said Harris, 59, yang merupakan Ketua Penerangan PKR Labuan berkata beliau meletakkan jawatan dan menyertai Bersatu adalah atas dasar memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada penduduk kampung di platform yang lebih kukuh iaitu parti pemerintah kerajaan. – BERNAMA

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button