
Pas minta penyokong pindah undi untuk tawan Selangor
PAS Selangor menyuarakan harapan agar penyokong yang bermastautin di negeri itu dapat berdaftar sebagai pengundi di Selangor pada PRU akan datang.
Pesuruhjayanya Ab Halim Tamuri berkata harapan itu khususnya bagi penduduk Selangor yang berasal dari negeri-negeri yang ditadbir PAS, seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Saya amat mengharapkan orang yang duduk di Selangor, mengundi di Selangor. Khususnya bagi kawasan yang kita perlukan (sokongan) seperti Shah Alam dan Sungai Buloh, Bangi, Sekinchan, Semenyih dan Sepang.
“Tolong sangat yang tinggal di Selangor undi di Selangor. Mudah sangat, (hanya) bawa bil elektrik atau air ke pejabat pos untuk tukar tempat mengundi,” katanya lapor Malaysiakini pada sesi dialog dan berbuka puasa bersama media di Shah Alam, malam tadi.
Ab Halim yang juga Adun Paya Jaras berkata demikian ketika ditanya adakah PAS Selangor menyokong saranan supaya penyokongnya yang berasal dari negeri-negeri lain untuk menjadi pengundi di Selangor dalam usaha merampas pentadbiran kerajaan negeri daripada PH-BN.
Pada masa ini, PN memegang 22 kerusi DUN di Selangor, dengan 10 daripadanya dipegang PAS.
Di peringkat Parlimen pula, PN hanya memegang enam daripada 22 kerusi, dengan tiga daripadanya dipegang PAS.
SPR menetapkan pengundi yang berpindah tempat bermastautin boleh menukar alamat pusat mengundi dengan menukar alamat pada kad pengenalan di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) dan kemudian membuat permohonan pertukaran dengan suruhanjaya itu.
Mengulas lanjut, Ab Halim berkata jika harapan itu dapat direalisasikan, tidak mustahil PN akan menang di Selangor pada pilihan raya akan datang.
Dalam perkembangan lain, dia berkata PAS Selangor kini memberi tumpuan terhadap isu-isu asas rakyat di negeri itu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan negeri.
Ab Halim antaranya membangkitkan isu banjir, pengurusan sampah dan pembangunan kampung tradisi Melayu.