Politik

Pas mahu penjelasan UMNO

PARTI Pas mahu UMNO memberi penjelasan berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada UMNO atas dasar rakan dalam Muafakat Nasional.

Takiyuddin berkata, jika dakwaan itu benar bermakna UMNO telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019.

“Sukacita diingatkan, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatu-padukan umat Islam dalam negara, sekaligus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

“Justeru sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina di atas permuafakatan BN, BERSATU, PAS, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan Kerajaan PH,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, atas dasar rakan muafakat dalam Muafakat Nasional, PAS mengajak UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata,  UMNO tidak dapat menghalang mana-mana ahli parlimennya yang ingin menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Ahmad Zahid berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa ada ahli-ahli parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan mereka.

“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau dikatakan berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasratnya sebagainya dimaklumi,” katanya dalam kenyataan media.

Kenyataan Presiden UMNO itu dikeluarkan selepas Anwar mengumumkan majoriti kukuh sekali gus menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Zahid turut berkata beliau menghormati keputusan ahli-ahli parlimen tersebut.

“Saya dimaklumkan ramai ahli parlimen UMNO dan BN telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan,” Ahmad Zahid.

Bagaimanapun beberapa ahli Parlimen UMNO yang dikaitkan dengan sokongan terhadap Anwar telah tampil menafikan dakwaan tersebut.-SM

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button