Politik

Hadi, Muhyiddin bertemu kukuh kerjasama hadapi PRU-15

Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menyatakan komitmen itu selepas mengadakan pertemuan semalam.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pertemuan itu dibuat berikutan senario muktahir politik negara.

Dalam satu kenyataan, mereka berkata, selain mengukuhkan kerjasama terdapat tiga lagi ketetapan diambil dalam pertemuan itu.

Bersatu dan Pas bertegas menolak sebarang bentuk penjajaran baru untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU-15 terutama yang melibatkan Pakatan Harapan dan sekutunya.

Kedua-dua parti selaku parti pengasas utama Perikatan Nasional akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat.

Jawatankuasa itu akan merangka strategi dan halatuju PN khusus bagi menghadapi PRU-15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamatkan secara kolektif dalam kalangan semua parti komponen,” katanya.

Kedua-dua parti itu dalam masa yang sama melahirkan komitmen untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk.

Bersatu dan Pas bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut dan menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin.

Kedua-dua parti itu juga menolak sebarang percubaan menggugat kerjasama Perikatan Nasional yang dibina secara bersama.

“Bersatu dan Pas menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-samaberjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,”katanya.

Pertemuan Abdul Hadi dan Muhyiddin berlaku beberapa hari selepas Persidangan Agung UMNO 2020  berlangsung di Pusat Dagangan Dunia pada Sabtu dan Ahad lalu.

Persidangan itu membuat keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 nanti.

Perwakilan UMNO telah memberi mandat kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi UMNO untuk memilih tarikh bagi menarik balik kerjasama dengan Bersatu.-SM

 

 

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button