Ekonomi

Tesla pacu mobiliti kemampanan menerusi pengembangan strategik di Malaysia

KUALA LUMPUR: Tesla, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Syarikat itu akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, bermula dengan Model 3 dan Model Y.

“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.

“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.

Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia untuk memberikan pemilik EV pengalaman pengecasan yang lancar dan mudah, sekali gus menggalakkan penggunaan EV secara meluas di negara ini.

Syarikat itu akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang sangat terlatih.

Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.

“Pusat-pusat ini akan berfungsi sebagai ruang interaktif untuk bakal pembeli mendapatkan pandangan tentang faedah mobiliti elektrik dan menerima bantuan peribadi daripada wakil jualan Tesla yang berpengetahuan,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata ia memberi tumpuan kepada mentransformasikan landskap perindustrian dan pelaburan Malaysia bukan sahaja untuk menarik syarikat seperti Tesla bagi membantu meningkatkan kedudukan pembekal domestik dalam rantaian nilai global, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu yang ‘lebih hijau’ dan mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Kehadiran Tesla di sini akan membantu meningkatkan kelayakan Malaysia di pentas global sebagai negara yang menyokong perniagaan dan pelaburan, dan kita mengalu-alukan lebih ramai pelabur multinasional yang berkongsi visi kita untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, seimbang dan inklusif untuk negara kita,” kata Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

MIDA telah meluluskan 58 projek berjumlah RM26.2 bilion dalam industri EV dan ekosistem berkaitannya dari 2018 hingga Mac 2023.

Sementara itu, pengarah serantau Tesla Isabel Fan berkata misi syarikat adalah untuk mempercepatkan peralihan dunia kepada tenaga mampan, dan ia berazam untuk membantu memacu masa depan yang lebih hijau untuk Malaysia.

Di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030, Malaysia menyasarkan untuk memastikan kenderaan EV termasuk hibrid (xEV) menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030 dan 38 peratus daripada TIV menjelang 2040, serta 10,000 unit kemudahan pengecasan menjelang 2025.

— BERNAMA

(Visited 61 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button