Belang Bertempat

Tun yakinlah ketentuan Allah, reda orang lain pula memimpin

Tun Dr Mahathir Mohamad semacam seorang yang terpilih dan seorang pemimpin yang unik lagi disegani.

Langkahnya masih panjang walaupun gontai turun naik tangga masih mampu dan bertenaga.

Paling ketara, kemampuan mindanya walaupun sendat sesekali, lantas memaparkan fikiran yang masih cerdas.

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meletak jawatan Perdana Menteri dua kali, pertama pada 2002 dan Februari 2020, mempunyai latar belakang hidup yang begitu sukar ditandingi.

Ibarat berjalan sudah terpanjang perjalanannya. Dari sudut pengalaman, tiada lain yang standing dengannya.

Insan bernama Mahathir Mohamad ini sudah pun diiktiraf sebagai legenda tanah airnya dan juga dunia.

Belang menghormati insan hebat ini.

Begitupun dalam lanskap politik baharu hari ini, Belang tidak selesa melihat
bangsa kita yang asyik hanya memaki hamun sesama bangsa. Sementara bangsa lain menjadi juara pemecahan kita.

Objektif kita adalah untuk kembali kepada sifat asal Melayu yang mengikut sunnah tetapi sebagai pejuang ulung berbanding bangsa-bangsa lain.

Tengah hari ini, Belang didatangi warkah dari seorang teman. Katanya, kalau dapat dititipkan buat Tun Mahathir.

Belang paparkan di ruang terhad ini:

Yang berhormat Tun,

“Semoga Allah terus melindungi Tun dan memberi kekuatan serta umur yang panjang dengan kesihatan yang sihat sentiasa hendak-Nya.

Setiap emosi kemarahan, kebencian dan keperitan yang dirasai hati Tun ketika mana Tun melihat perkara yang Tun tak sukai atau tidak seperti diramalkan termasuklah yang tidak mengikuti kemahuan diri itulah terjadi, kita doakan semoga Tun bertakafur, berserah dan reda sahajalah. Kerana sesungguhnya Allah SWT lebih Maha berkuasa dan Maha Mengetahui.

Dalam pada mendapat rezeki jangka umur yang panjang diberi oleh Allah SWT tetapi dalam pada masa yang sama terpaksa menanggung atau dibelenggui perasaan kecewa, sedih atau pun marah, anggaplah ia satu ujian semata-mata sebagai pencuci dosa duniawi yang kita lakukan sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.

Kita doakan agar Tun tidak menolak kemungkinan ujian ini kerana dengan menerimanya adalah satu hidayah. Menidakkannya boleh mendatangkan sifat riak terhadap yang Maha Esa.

Akhirnya dosa tidak dapat dicuci, keredaan tak diperoleh dan yang paling kita takuti jika ia menjadi sebahagian dari sifat “syirik kecil” iaitu salah satu dari dua perkara yang paling Rasullullah SAW takuti. Riak sehingga lupa bahawa Allah SWT lebih Berkuasa dan lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Ambil YAB Perdana Menteri kelapan sebagai contoh. Tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun ada kesan sampingan yang membuatkan orang menderita, di sebalik juga mereka yang bersyukur. Harus diakui, mesti ada orang yang marah.

Namun Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil keputusan bertawakal dan lakukan apa yang difikirkan betul dan benar di sisi Allah SWT.

Esok, apabila sudah bersara dan nak berehat, mesti ada golongan yang terus marah di atas kesilapan atau kesan yang timbul sama ada disengajakan atau tanpa disengajakan.

Kalau umur masih panjang dan kesihatan Tan Sri Muhyiddin masih kuat ketika itu (Amin YRA), takkanlah beliau hendak ambil kembali kuasa dengan harapan untuk membetulkan apa yang mungkin sudah tersilap ketika dia memimpin.

Tiada orang yang boleh lari dari kesilapan. Reda dan benarkanlah orang lain pula memimpin dan perbetulkan mana yang perlu (jika ada).

Tun Mahathir kena yakinlah ketentuan Allah dan reda beri peluang orang lain memimpin sama ada menjadi lagi baik dari dia atau membetulkan kegagalan dia. Tak perlulah nak berkira sangat. Yakin kepada Allah SWT yang Maha menguruskan kerana Dia Maha Mengetahui. Begitu juga pada tiba masa Tan Sri Muhyiddin nanti.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
‎إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ اْلأَصْغَرُ، فَقَالُوْا: وَمَا الشِّرْكُ اْلأَصْغَرُ، يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قاَلَ: اَلرِّيَاءُ.
“Sesungguhnya yang paling aku takutkan atas kalian adalah syirik kecil.” Mereka (para Sahabat) bertanya: “Apakah syirik kecil itu, wahai Rasulullah?” Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Yaitu riyak’.” (HR. Ahmad, dihasankan oleh Ibnu Hajar al-Atsqalani dalam Buluughul Maraam.)

Wallahualam. Semoga Tun terus dilindungi dan diberi hidayah.”
– SM

(Visited 371 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button