Politik

Parti dalam GRS tandatangani MoU untuk kekal kerjasama

BAGI mengekalkan kerjasama dan menolak campur tangan luar yang boleh menjejaskan perpaduan parti-parti politik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Ia merupakan MoU yang pertama seumpamanya dimeterai yang dikatakan sangat penting bagi mengukukuh ikatan politik dan persefahaman antara parti.

Parti-parti yang menandatangani memorandum itu ialah  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang diwaklili Datuk Hajiji Noor; Barisan Nasional Sabah oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin; Parti Maju Sabah (SAPP) oleh Datuk Yong Teck Lee dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Alfred Angin.

Turut menandatangani MoU itu ialah Parti Bersatu Sabah (PBS) diwakili Datuk Seri Radin Malleh; Pas Sabah yang diwakili setiausahanya, Dr. Aliakbar Gulasan; Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) oleh Arthur Joseph Kurup; MIC Sabah oleh Peer Muhamad dan MCA Sabah diwakili Pengerusinya, Lu Yen Tung.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, berpaksikan kepada mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, semua parti yang ada dalam gabungan ini bersetuju untuk memastikan mandat rakyat ini dihormati.


Katanya, ia perlu diteruskan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama antara parti komponen GRS sememangnya kukuh sejak PRN Sabah ke-16 lagi tetapi dengan memorandum ini, kerjasama ini dapat kita kukuhkan lagi bagi memenuhi mandat yang diberi rakyat,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di Kota Kinabalu hari ini

Menurut Hajiji, walaupun  apa pun perkembangan politik di Semenanjung, GRS perlu menentukan hala tuju politiknya sendiri berdasarkan mandat yang diberi oleh rakyat Sabah.

“Tidak timbul isu kita terpengaruh, apa sahaja berlaku di Semenanjung kita GRS kekal utuh,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, BN Sabah tetap dengan ketetapannya sebelum ini iaitu mempertahankan kerajaan negeri GRS demi kepentingan rakyat di Sabah. – SM

(Visited 160 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button