fbpx
Politik

Parti campuran dalam MN tidak timbul isu – Ismail Sabri

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berhasarat membuka keahliannya kepada bukan bumiputera tidak menjejaskan kedudukan Muafakat Nasional (MN).

Namun perkara itu menjadi isu apabila Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah (Ku Li) menggesa partinya menolak Bersatu.

Malah Ku Li juga dikatakan menolak Bersatu daripada menyertai gabungan UMNO dan Pas itu kerana bertentangan dengan prinsip ‘pakatan Melayu-Islam’.

Bagaimanapun, pandangan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu hanyalah bersifat peribadi dan tidak melambangkan keputusan parti.

Hal demikian kerana, komponen Barisan Nasional seperti MCA dan MIC juga turut bersama menyokong UMNO dalam MN.


“Dalam MN kita bersetujui bahawa bukan sahaja UMNO dan Pas tetapi bersama dengan MCA dan MIC.

“Jadi tak timbul isu, kalau dalam PN (Perikatan Nasional) ada parti bukan Melayu dan sebagainya.

“Dia parti campuran saya difahamkan, tetapi dalam kita pun walaupun UMNO parti Melayu Bumiputera sepenuhnya.

“Tetapi, rakan kita MCA dan MIC adalah parti kaum Cina dan India. Saya percaya isu tersebut tidak sepatutnya timbul.”

Demikian penjelasan diberikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti dipetik laporan portal MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, Ku Li turut menggesa Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kabinet kerajaan sekarang supaya meletakkan jawatan masing-masing.

Ia dipercayai bertujuan bagi menarik balik sokongan UMNO terhadap kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri daripada Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Suara Merdeka turut melaporkan pelancaran PN yang dijadualkan berlangsung esok ditunda.

Penangguhan itu susulan terdapat krisis antara UMNO dan Bersatu yang belum diselesaikan.

Bagaimanapun, Bersatu kemudian dikatakan cuba mendapatkan sokongan daripada parti-parti di Sabah bagi menyertai PN.

Namun hal demikian dikatakan sekadar khabar angin apabila pertemuan antara Presiden Bersatu dengan pemimpin parti-parti di Sabah pada petang ini dibatalkan.

Bagaimanapun, Parti Progresif Sabah (SAPP) dilaporkan membuat keputusan untuk menyertai PN sebagai sebahagian daripada kerajaan. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button