NasionalNegeri

Umat Islam disaran terus bersolidariti terhadap Palestin

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya seluruh umat Islam terus menerus menzahirkan solidariti sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap situasi semasa yang sedang berlaku di Palestin.

Baginda bertitah, keamanan adalah hak semua insan dan ianya tidak wajar dinafikan dan dirampas oleh mana-mana pihak.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli ke-66 di sekitar Simpang Empat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke-66 bagi tahun 2023 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Kayuhan sejauh 15 kilometer pada kali ini juga khas bersempena tanda sokongan dan solidariti kepada saudara seIslam di Palestin.

Baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Raja Muda turut berkenan menyantuni dan singgah ke tiga rumah asnaf terpilih di sekitar kawasan Simpang Empat.

Antaranya, Manis Saad, 79, Che Tom Mahamood, 72 dan Bakeri Omar, 55 telah menerima bantuan wang tunai RM700, “Kit MAIPs Peduli” dan beras fidyah sumbangan MAIPs bagi menampung kehidupan seharian mereka.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli ke-66 di Simpang Empat telah berkenan singgah di sebuah gerai air kelapa.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim mengumumkan bahawa kutipan Tabung Musa’adah bagi menjayakan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober 2023 baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa bagi tujuan penyelarasan, jabatan berkenaan menggesa orang ramai di Perlis yang ingin membuat sumbangan kepada Palestin agar menyalurkan hanya kepada pihak-pihak yang telah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan untuk menyampaikan sumbangan secara terus kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan sumbangan MAIPs kepada salah seorang asnaf di Simpang Empat semasa mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli.

Sumbangan tersebut boleh disalurkan secara terus ke Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-Yayasan Waqaf Malaysia melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad 86-0221818-6. – SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button