JenayahNasionalNegeri

Nelayan asing menceroboh ditahan Zon Maritim Kuala Perlis

SUDAHLAH menceroboh perairan, berani pula nelayan asing mengaut khazanah laut negara orang. Perbuatan ini tidak akan dibiarkan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis yang menjaga perairan negara.

Berikutan itu, dua bot nelayan Thailand tanpa nombor pendaftaran ditahan pada jarak lebih kurang 5.2 dan 6.1 batu nautika barat daya Kuala Perlis pada pukul 8.55 hingga 9.11 pagi semalam.

Antara barang yang ditemui pada bot nelayan asing – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim, Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan telah mengesan bot nelayan Thailand.

“Ketika ini mereka sedang leka melakukan aktiviti menarik pukat di perairan Kuala Perlis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Hashim berkata, tangkapan pertama dilakukan pada kedudukan sekitar 5.2 batu nautika barat daya Kuala Perlis pada pukul 8.55 pagi tadi melibatkan tekong dan kru warga Thailand yang berusia 21 dan 48 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot itu ditemui satu lambar pukat ketam dan sebuah tong ais berisi udang lipan serta ketam dianggarkan lebih kurang 3 kilogram.

Beliau berkata, tangkapan kedua bot dilakukan pada kedudukan kira-kira 6.1 batu nautika barat daya Kuala Perlis, pada pukul 9.11 pagi melibatkan tekong dan kru juga warga Thailand di mana masing-masing berusia 16 dan 33 tahun.

Katanya lagi, keduanya juga sedang leka menjalankan aktiviti menarik pukat di mana hasil pemeriksaan ditemui dua lambar pukat ketam dan sebuah tong berwarna biru berisi 10 liter minyak petrol dan dianggarkan lebih kurang 5 kilogram udang lipan dan ketam di atas bot tersebut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kesemua mereka juga mendapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain bot nelayan yang dinaiki mereka tidak mempunyai nombor pendaftaran,” ujarnya.

Mohd Hashim berkata, bot, tekong, kru serta kesemua barang rampasan tersebut ditahan dan dibawa masuk jeti Zon Maritim Kuala Perlis serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 15(1)(a) kerana menangkap ikan diperairan Malaysia tanpa permit yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6 (1) (c) kerana tiada memiliki suatu pas yang sah bagi memasuki Malaysia.

Pukat yang digunakan nelayan asing untuk mengaut khazanah laut negara ini. – GAMBAR IHSAN ZON MARITIM KUALA PERLIS.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin, bahan api dan hasil laut dianggarkan bernilai RM 19,600.00,” jelas beliau.

Maritim Malaysia akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia, katanya lagi.

“Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162m,” katanya.  – SM

(Visited 477 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button