Hiburan

Panggung Seni Tradisional 2021 pamer lima tarian

Alami keindahan lima (5) persembahan dalam Panggung Seni Tradisional 2021 (PST2021) secara dalam talian pada bulan November 2021. Antara persembahan yang diangkat ialah Tari Warisan Borneo ‘Rumpun Borneo’, Irama Tanah Selatan ‘Pentas Ghazal’, Kesenian Tradisional Cina ‘Anggun…The Timeless Journey’, Himpunan Tarian Tradisional India ‘Suasana’ dan Tarian Rampaian Tradisional Melayu ‘Lenggang Berangkai Lenggok Bertandak’.

PST2021 akan melibatkan beberapa kumpulan seperti Persatuan Kesenian Tradisi Borneo, Jemaah Ghazal Kuala Lumpur, Persatuan Ghazal Johor Malaysia (GhaJMas), Performing Arts of Todern, Fakulti Tari ASWARA dan Kumpulan Kesenian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Saksikan 5 siri persembahan ini secara LIVE melalui https://www.facebook.com/PanggungSeniTradisionalTraditionalArtsShowcase.

Panggung Seni Tradisional mula diperkenalkan pada tahun 2013 dan sejak itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tidak pernah culas dalam melaksanakan pementasannya. Ia bertujuan untuk mengangkat kesenian warisan tradisional yang asli dan sangat tinggi nilainya. Program yang dibuat secara berkala ini mengalami perubahan dalam kaedah pelaksanaannya memandangkan situasi pandemik yang melanda negara dan dunia. Kalau dulu, ia dipentaskan secara langsung di hadapan penonton, namun untuk tahun 2020 dan 2021 ia dilaksanakan secara rakaman tanpa kehadiran penonton. Setiap rakaman pula akan ditayangkan secara LIVE di media sosial seperti Facebook dan YouTube.

Walau apa jua keadaan semasa yang melanda negara, JKKN tetap komited melaksanakan program ini yang bertujuan untuk menyemarakkan kesenian tradisional negara ini. Selain itu, objektif JKKN adalah untuk memartabatkan kesenian tradisional, mewujudkan rasa cinta dan penghayatan warga urban terhadap warisan negara, sebagai langkah pemuliharaan dan pengekalan, memberi peluang peminat di Lembah Klang serta pelancong untuk menyaksikan persembahan dengan lebih dekat. Selain itu, pelaksanaan program ini bertujuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan tradisional negara dan mengangkat persembahan Panggung Seni Tradisional sebagai produk pelancongan negara.

Untuk rekod, sejak mula dilaksanakan pada tahun 2013 hingga 2021, program ini telah mementaskan 52 kesenian tradisional yang merangkumi tiga (3) genre iaitu Tari, Muzik dan Teater Tradisional, melibatkan 87 kumpulan kesenian dan 2,386 orang peserta. Manakala Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) adalah rakan kerjasama JKKN dalam melestarikan program ini. -SM

(Visited 550 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button