
Panggung Bangsawan Melaka Hidupkan Legenda Tun Fatimah, Tun Teja dan Tun Kudu
SEBANYAK tiga naskhah teater berunsur sejarah, budaya dan jati diri bangsa bakal dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka sebagai usaha memperkasa seni warisan Melayu dan mengangkat tokoh wanita Melayu dalam sejarah negara.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, pementasan tersebut bukan sekadar hiburan, malah menjadi manifestasi ketamadunan bangsa melalui seni persembahan yang membina jati diri rakyat.
“Dua daripada tiga pementasan mengetengahkan tokoh wanita Melayu terbilang seperti Tun Fatimah, Tun Kudu dan Tun Teja, yang melambangkan kekuatan, kepimpinan dan kebijaksanaan wanita dalam sejarah bangsa.
“Setiap naskhah memaparkan kisah keberanian dan kepimpinan tokoh silam, sekali gus menjadi medium penting dalam mendidik masyarakat mengenai sejarah dan nilai budaya bangsa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pementasan Teater di Panggung Bangsawan, Isnin lalu.
Turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Puan Ezlina Elias.
Pementasan ini merupakan hasil kerjasama antara Pertubuhan Teater Melaka dan Kumpulan Sriwana dari Singapura, menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai sempena Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam ke-22 di Singapura pada Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Kalsom menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam menyokong program yang memperkukuh kefahaman sejarah dan pembangunan seni tempatan.
“Saya menyeru seluruh masyarakat, khususnya golongan muda, untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini. Ayuh kita raikan warisan bangsa dan pastikan seni persembahan Melayu terus gemilang di persada dunia,” katanya lagi.
Barisan pelakon terkenal yang akan menjayakan pementasan tersebut termasuk Neera Azizi, Ashraf Muslim, Al Jufferi Jamari dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Tiga naskhah teater yang bakal dipentaskan adalah:
-
Teater Bangsawan Sahmura: Empayar Melaka (23 – 25 Mei 2025)
-
Tinta Runtuhan: Bila Keris Berdenting Berbisik (31 Mei 2025)
-
Teater Tradisional Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka (13 – 15 Jun 2025)