Sukan

Pang Ron-Yee See cipta kejutan ke atas beregu No. 8 dunia

Beregu campuran itu turut mengiringi dua lagi wakil negara ke separuh akhir

BEREGU campuran yang menjadi pertaruhan masa depan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Hoo Pang Ron-Cheah Yee See semakin mempamerkan kematangan dalam permainan mereka apabila mencipta kejutan ke atas pasangan No. 8 dunia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja pada suku akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand Toyota di Arena Impact, Bangkok, hari ini.
Hasil kerja keras pasangan muda yang menghuni ranking No.35 dunia dan beraksi buat kali pertama pada suku akhir Jelajah Dunia Super 1000 HSBC BWF itu membuahkan hasil yang amat berbaloi apabila melakar kemenangan 12-21, 21-19, 21-19.
Pang Ron-Yee See berjaya bangkit daripada kekalahan set pertama untuk memberikan tentangan sengit sehingga berjaya mengheret lawan yang lebih berpengalaman itu beraksi sehingga ke set penentuan sebelum menang dalam permainan yang berlangsung lebih sejam.
Aksi terbaik gandingan Malaysia itu pada Jelajah Dunia ialah melangkah sehingga ke separuh akhir kejohanan berstatus Super 300 Terbuka Macau 2018 dan 2019.
Pang Ron yang dipetik kenyataannya menerusi laman web rasmi BWF berkata, dia dan Yee See bergelut pada set pertama.
“Mungkin kami tidak biasa dengan permainan yang perlahan. Lagipun kami belum pernah bermain dalam Gelanggang 2, dan keadaan itu bertambah menyukarkan kami.
“Dalam set kedua dan ketiga, secara perlahan-lahan kami mendapatkan rentak dan kami bermain dengan agak baik.
“Mereka memiliki kekuatan tersendiri. Secara fizikal kami mungkin tidak sekuat mereka. Tetapi taktik kami serta permainan Yee See di hadapan jaring lebih laju berbanding mereka dan ia menjadikan persembahan kami lebih lancar,” katanya.
Pada separuh akhir, Pang Ron-Yee See sekali lagi berdepan laluan getir apabila mereka perlu beraksi menentang beregu No. 6 dunia, Seo Seung Jae-Chae Yujung yang menewaskan pasangan tuan rumah, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 24-22, 21-18.
Mengulas mengenai pertemuan tersebut, Pang Ron memberitahu, seperti yang pernah dikatakannya sebelum setiap perlawanan, tiada tekanan buat mereka selaku beregu underdogs.
“Jadi, saya berharap kami dapat membawa pulang sesuatu ke Malaysia,” ujarnya.
Turut mengikut jejak langkah Pang Ron-Yee See ialah beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengetepikan cabaran rakan senegara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong 21-16, 21-13.
Pilihan kelapan, Aaron-Wooi Yik bakal beraksi menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di separuh akhir setelah pasangan India itu mengalahkan satu lagi beregu Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 18-21, 22-24.
Dalam saingan beregu wanita pula yang juga menyaksikan pertembungan dua wakil Malaysia berkesudahan gandingan No. 14 dunia, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menyingkirkan pasangan muda negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan 22-20, 21-12.
Pilihan keempat, Kim So Yong-Kang Hee Yong dari Korea Selatan menanti Mei Kuan-Meng Yean di separuh akhir, esok.
Sementara itu, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang diletakkan selaku pilihan kelima disekat langkah mereka oleh pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa 21-18, 22-24, 20-22.
Satu lagi wakil Malaysia dalam saingan beregu wanita iaitu Vivian Hoo-Yap Cheng Wen tewas kepada pilihan ketiga dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan 13-21, 16-21.
Dalam saingan perseorangan lelaki pula,
Liew Daren yang menjadi wakil tunggal Malaysia dalam kategori tersebut akur kepada kehebatan pilihan keempat, Victor Exelsen dari Denmark 16-21, 15-21. – SM

(Visited 434 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button