Rencana

Pandemik membunuh kegilaan, kedegilan kita

RAMAI yang tidak percaya dan terkejut apabila keputusan SPM diumumkan baru-baru ini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi keputusan terbaik dalam tempoh lima tahun kebelakang.

Mana tidaknya, dengan tekanan mental dan emosi akibat pandemik Covid-19, hingga ada pelajar yang terpaksa beratur panjang untuk menjalani ujian wabak berkenaan apabila terdapat hanya seorang yang dijangkiti virus pembunuh itu.

Selain SOP yang ketat menyebabkan kehadiran ke sekolah bukan lagi sesuatu yang menggembirakan kerana tidak dapat bergaul bebas dengan rakan dan banyak lagi aktiviti sosial serta riadah tidak dapat dilaksanakan.

Terlebih awal daripada itu para pelajar berkenaan terpaksa belajar di rumah menggunakan segala kemudahan yang ada dan kebanyakan mereka menghadapi kekangan dalam bentuk pelbagai.

Ada yang tidak mempunyai peralatan yang sesuai, tidak kurang juga yang tidak mempunyai liputan internet.


Di sinilah para guru memainkan peranan bagi menampung kekurangan dan menyelesaikan permasalahan yang timbul bagi memastikan para pelajar tetap mendapat pendidikan walaupun dalam apa juga keadaan.

Ada guru yang agak berusia terpaksa belajar kembali kemahiran IT yang pada awal kekok, tetapi selepas dibantu akhirnya mereka kini menjadi mahir.

Sebenarnya inilah yang mahu dilakukan oleh kerajaan selama ini. Iaitu pengajaran dan pembelajaran tanpa kertas dan secara maya.

Bagaimanapun rakyat biasanya sukar menerima idea yang terlalu ke hadapan, apatah lagi mereka terpaksa mengubah kaedah yang telah sebati dan selesa selama ini. Sedangkan di negara maju kaedah berkenaan sudah menjadi perkara biasa.

Begitu juga ibu bapa sentiasa memberi pelbagai alasan dan menentang apa juga yang mahu dilaksanakan dan pada masa yang sama terdapat pihak berkepentingan akan menghasut supaya mereka berterusan menentang dasar kerajaan walaupun ia demi kebaikan negara keseluruhannya.

Ledakan maklumat yang segera sampai ke hujung jari menyebabkan masyarakat mudah diracuni pemikiran dengan pandangan yang negatif.

Memang setiap dasar dan polisi yang dilaksanakan sentiasa ada kelemahan dan ia perlu diperbaiki dan berbetul. Ini digunakan oleh pihak pembangkang dengan melabel kerajaan flip-flop dan U-turn.

Akhirnya apa yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan tidak dapat dijalankan kerana terlalu banyak persepsi dan tanggapan negatif bertebaran.

Namun dalam situasi pandemik apabila kerajaan dan masyarakat tidak mempunyai pilihan, akhirnya suara-suara sumbang tersebut tenggelam kerana semua pihak tidak mempunyai pilihan lain.

Begitu juga di dalam bidang perniagaan telah sekian lama kerajaan menekankan kepada e-dagang tetapi tidak banyak ahli perniagaan yang memanfaatkannya.

Dalam situasi pandemik bila pergerakan terbatas, akhirnya semua terpaksa akur dan mula melabur di dalam bidang berkenaan untuk memastikan kelangsungan.

Perkara itu turut diakui oleh ahli ekonomi bagaimana kedegilan Malaysia yang berterusan telah menghalangi reformasi penting.

Dalam webinar yang dihoskan oleh Institut Jeffrey Cheah di Asia Tenggara baru-baru ini, Noor Azlan Ghazali, ketua kluster ekonomi dan pengurusan Majlis Profesor Negara, mengatakan bahawa wabak itu telah menimbulkan masalah yang perlu ditangani selama beberapa dekad, tetapi berlanjutan kerana ketidakselarasan di pelbagai peringkat.

“Laporan demi laporan, cetak biru demi cetak biru … siapa sahaja yang mencadangkan kajian lain harus melupakannya, kita semua tahu apa yang perlu dilakukan untuk negara,” katanya.

Noor Azlan menyatakan bahawa cadangan seperti meningkatkan daya saing, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan menutup jurang pendapatan sudah lama bertahun-tahun, tetapi tidak pernah ditangani dengan tepat.

“Walaupun nombor (ekonomi) kita tidak terlalu buruk, susunan struktur angka-angka ini masih mengalami masalah yang sama. Sekiranya kita pulih dari krisis ini, dan kita tidak membuat pembaharuan ini, itu akan memalukan negara kita.

“Orang mungkin kembali ke kehidupan normal mereka, tetapi jika kita tidak mengatasi masalah ini, pemulihan kita akan menjadi sia-sia. Adakah kita mahu kembali ke tempat kita sebelum ini? ”

Dia mengatakan tidak hanya pemerintah tidak cukup proaktif dalam menerapkan strategi yang betul, orang ramai juga tidak bersedia menyesuaikan diri dengan konsep berpendapatan tinggi.

Dengan menggunakan contoh pekerja asing, Noor Azlan berkata, sementara kebanyakan akan setuju bahawa pergantungan negara pada buruh murah tidak berlanjutan, mereka juga tidak bersedia untuk menaikkan harga sekiranya pekerja tempatan digaji.

Dia mengatakan perkara yang sama berlaku untuk GST, yang menangani kutipan cukai yang rendah tetapi mendapat tentangan dari banyak orang sebelum dicabut ketika Pakatan Harapan berkuasa.

Ramon Navaratnam, mantan timbalan setiausaha agung Perbendaharaan, “kerajaan harus mendidik masyarakat untuk menyedari mereka kalah, dan harus sangat berhati-hati dengan siapa mereka memilih. Undi orang yang salah dan kita sendiri yang harus dipersalahkan. ”

Sekiranya orang tidak membuat suara mereka didengar, katanya, “rakaman yang sama akan terus bermain berulang kali”, dan kesilapan masa lalu akan berulang.

Di dalam bidang kesihatan sahaja kita sepatutnya sudah sepatutnya mempunyai kilang sendiri bagi mengeluarkan vaksin sebagaimana yang dilakukan oleh negara jiran Thailand.

Dek kerana usaha kerajaan negara jiran itu sebelum ini, apabila pandemik tercetus mereka telah siap dengan kilang bagi menghasilkan vaksin.

Bagi Malaysia pula semuanya hanya kekal di kertas cetak biru dan tidak pernah dilaksanakan hingga apabila penularan wabak, kita tidak bersedia untuk menghasilkan vaksin atau mengeluarkan vaksin yang telah sedia ada di pasaran dan hanya kini kerajaan difahamkan sedang mengambil inisiatif untuk memindahkan teknologi pengeluaran vaksin ke negara ini.

Kita harus jadikan ini satu pengajaran kerana ketika situasi getir barulah kita melihat wajah sebenar negara-negara maju yang tamak membolot vaksin untuk negara mereka tanpa memikirkan nasib negara membangun dan negara mundur. Hingga ke tahap ada negara maju yang membeli lebih 200 peratus daripada keperluan penduduknya.

Di sinilah pentingnya Malaysia mempunyai kilang sendiri bagi menghasilkan vaksin bukan sahaja untuk kegunaan rakyat sendiri, tetapi juga dapat dieksport yang sekali gus menjana pendapatan negara serta mencipta banyak peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.

Nasib juga negara kita memang sudah mempunyai kilang pengeluar sarung tangan getah. Jika tidak memang cukup memalukan apabila kita sebagai negara pengeluar getah terpaksa membeli sarung tangan dari luar.

Kita sendiri dapat lihat bagaimana ketika awal negara dilanda pandemik, untuk mendapat PPE dan pelitup muka sahaja sangat sukar.

Ini menjadi pengajaran kepada kita dan kita tidak lagi boleh kembali ke keadaan sebelum ini. Kita perlu bangkit dengan lebih hebat walaupun pandemik ini telah berakhir nanti.

Itu belum cerita kegilaan orang politik yang gila hendak berkuasa walaupun dalam situasi getir hari ini mereka masih ghairah untuk berpolitik. Sedangkan ketika inilah mereka harus menunjukkan mereka ialah seorang pemimpin berjiwa besar dengan turun ke lapangan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Semoga sebelum pandemik ini selesai golongan gila kuasa ini akan insaf dan kembali berkhidmat kepada rakyat dan bukan hanya mementingkan kantung sendiri dan kroni masing-masing.

Dan apabila wabak ini reda dan rakyat akan menghukum ahli politik yang gila ini supaya mereka dan kroni dalam pilihan raya agar mereka insaf buat selamanya.

 

(Visited 50 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button