Nasional

Pandemik Covid-19 tidak halang MAIPs terus laksana aktiviti – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa
sepanjang tahun 2020 yang lalu, walaupun berhadapan wabak Covid-19, namun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) masih melaksanakan beberapa aktiviti ke arah menjulang namanya di persada dunia selain memberi fokus utama di dalam negeri ini.

Menurut baginda, ‘MAIPs telah sekali lagi melaksanakan Program Ziarah Mahabbah bersama 6 Majlis Agama Islam Wilayah Andaman Thailand yang dilaksanakan di Wilayah Krabi pada Januari 2020. Ianya adalah signifikan kepada pusingan kedua kolaborasi erat antara MAIPs dengan 6 Wilayah berkenaan’.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Berdepan pandemik dan ketidak tentuan ekonomi dunia, MAIPs meneruskan misi globalnya dengan melaksanakan kerjasama secara maya. Antara pelaksanaan program di peringkat antarabangsa yang dilaksanakan MAIPs adalah:

1) “Persidangan Antarabangsa Kursi Jamalullail” Tahun 2020 anjuran bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 7 hingga 9 Oktober 2020. Seminar secara dalam talian itu menyaksikan sebanyak 92 kertas kerja dibentangkan secara maya oleh para pembentang daripada dalam dan luar negara termasuklah Indonesia, Brunei Darussalam, Arab Saudi, Palestin, Mesir, Kuwait, Yaman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Qatar, Iraq, Bangladesh, Turki dan Libya, selain Malaysia sendiri, dan

2) “Seminar Warisan Nabawi kali ke-7”dengan kerjasama MAIPs dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada 29 hingga 30 Oktober 2020.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyempurnakan program ‘MAIPs Peduli’ Bilangan ke 11 bagi tahun 2021’ yang diadakan di Masjid Jamek Beseri, Padang Besar.

Seramai 25 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs daripada baginda.

Hadir sama mengiring ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Bersempena program itu juga selain singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih, baginda turut berkenan meluangkan masa melawat Empangan Timah Tasoh.

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button