BeritaPendidikanRencah Hidup

Radzi beri jaminan pemansuhan UPSR dan PT3 bukan keputusan terburu-buru

PADA sesi jawab lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberi jawapan mengapa pemansuhan UPSR dan PT3 yang dilihat merugikan anak-anak generasi hari ini kerana tiada kayu pengukur sejauh manakah kemampuan anak-anak dalam menghadapi peperiksaan dan akademik.

Berikutan pemansuhan UPSR pada tahun 2021 dan PT3 mulai tahun 2022, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Radzi, kini memberi tumpuan kepada pemerkasaan PBS iaitu satu daripada kaedah dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan. Ini melibatkan komponen PBD, PAJSK serta PPsi.

“Secara umumnya PBS telah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah pada tahun 2011 dan di sekolah menengah pada tahun 2012. Ia antara lain bagi menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid,” katanya.

Beliau berkata, bagi pengukuhan PBD untuk murid tahun 4 hingga tingkatan 3, KPM akan mewujudkan sistem bank soalan yang mana soalan-soalan tersebut disediakan oleh guru yang berkepakaran.

Katanya, penyediaan soalan dengan standard yang setara ini merupakan antara pendekatan dalam menambah baik pengurusan ujian akhir sesi akademik seseorang murid.

“Pihak sekolah hanya perlu menjana set soalan daripada sistem tersebut untuk kegunaan semasa ujian akhir tahun sekolah masing-masing. Untuk kemudahan guru, panduan penskoran juga akan turut disediakan,” jelasnya.

Radzi berkata, penambahbaikan dalam ujian akhir sesi akademik ini bertujuan membolehkan guru dan ibu bapa bersama-sama melaksanakan intervensi awal bagi mengoptimumkan potensi anak-anak.

Katanya, dalam masa sama, pentaksiran melalui PAJSK dan PPsi juga diperkukuh bagi menilai perkembangan murid dalam aspek sukan, kokurikulum, nilai murni, minat dan kecenderungan serta pembentukan sahsiah.

“Ini penting bagi memastikan kejayaan dan kemenjadian murid dilihat dan diukur secara holistik, bukan semata-mata berdasarkan prestasi bidang akademik sahaja,” ujar beliau.

Beliau berkata, selain laporan pencapaian murid dibuat secara menyeluruh dua kali setahun, kaedah pelaporan PBD juga dimantapkan dengan laporan akhir sesi akademik akan turut disertakan dengan pelaporan PAJSK dan PPsi.

Ini kata Radzi, akan memberi gambaran mengenai kemenjadian murid secara lebih menyeluruh, komprehensif dan bermakna.

Turut disentuh adalah berkaitan dakwaan pemansuhan UPSR dan PT3 yang digantikan dengan PBS dan PBD dibuat secara tergesa-gesa.

“Saya tegaskan bahawa keputusan pemansuhan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan melalui siri libat urus yang diadakan. Saya turut menerima pertanyaan mengenai kemasukan ke sekolah-sekolah khusus bagi murid lepasan tingkatan 3.

“Mengenai PKSK, saya jelaskan bahawa ia merupakan satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon ke sekolah khusus iaitu SBP, sekolah menengah teknik, kolej vokasional, SMKA dan MTD,” jelas beliau.

Tambah beliau, pentaksiran yang dilaksana bermula tahun 2020 ini merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insani, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan.

Semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid KPM layak untuk memohon menduduki ujian kemasukan ke sekolah khusus melalui platform PKSK, katanya.

“Dalam hal ini, KPM komited menambah baik PKSK dari masa ke masa demi kelestarian pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya. – SM

(Visited 503 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button