Politik

Peletakan jawatan Jazlan tanda beliau tidak sokong kerajaan PN

PELETAKAN jawatan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa beliau telah menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan Ahmad Jazlan itu mungkin akan jadi pencetus kepada kemuncak perasaan tidak puas hati UMNO terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Mungkin pencetus, menunjukkan bukan sahaja UMNO yang menolak Bersatu pada PRU-15 tetapi Jazlan salah seorang Ahli Parlimen yang menjadi anggota sokong PN

“Tanpa sokongan MP UMNO, PN tak boleh berdiri tegak. Pada pandangan saya Jazlan telah membuat pendirian menarik diri daripada menyokong kerajaan PN. Jadi kurang seorang.

“Kalau berterusan tak tahu berapa orang lagi. Saya percaya ini pencetus kemuncak tidak puas hati UMNO terhadap Bersatu yang menjadi peneraju Kerajaan Perikatan Nasional,” kata Tajuddin.

Ahmad Jazlan dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, di pejabat beliau sebentar tadi.

Peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa Rabu ini. Ahmad Jazlan dilantik sebagai Pengerusi MPOB pada April lalu bagi menggantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.

Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, beliau telah berjumpa dengan 11 Badan Perhubungan UMNO Negeri yang melahirkan perasaan bahawa UMNO merasakan parti itu mungkin akan dikuburkan oleh keadaan perkembangan politik muktahir.

“Ahli-ahli UMNO dipujuk untuk tinggalkan UMNO daripada cawangan. Bersatu nak tubuh cawangan di seluruh negara dan mengambil ahli daripada orang-orang UMNO.

“Ini sudah tentu akan mengancam survival UMNO. Peringkat tinggi itu kamu semua sudah baca. Berapa ramai yang sudah melompat bila dapat jawatan menteri, timbalan menteri. Secara tidak langsung, telah diumpan untuk meninggalkan UMNO,” kata Tajuddin.

Menurut Tajuddin, dengan kuasa, kedudukan, pengaruh dan wang Bersatu mampu untuk mengembangkan parti tersebut dan UMNO pula sebaliknya akan menjadi parti kecil.

“Sekarang terbukti UMNO kecil dalam kerajaan Perikatan Nasional. Jawatan menteri belia, perpaduan, pertahanan kanan la konon. Apa yang boleh buat untuk rakyat, membantu parti.

“Kita telah mendapati wang telah digunakan untuk membeli ahli UMNO dan tubuhkan cawangan dengan adanya tabung kewangan yang banyak,” kata Tajuddin dalam sidang media hari ini.-SM

 

 

(Visited 773 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button