Nasional

Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague sahkan pendirian Malaysia

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda semalam yang menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan award akhir sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu yang dikatakan diperoleh melalui proses timbang tara, mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara itu tidak sepatutnya berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, permohonan sedemikian tidak sah sejak awal lagi dan award akhir yang dikatakan itu, adalah terbatal.

“Pihak yang menuntut tidak boleh bergantung kepada award akhir yang dikatakan itu untuk cuba merampas aset Malaysia di Belanda dan dengan penghakiman penting ini, sebarang percubaan oleh pihak menuntut dan pembiaya mereka akan menjadikan sia-sia untuk menguatkuasakannya di bidang kuasa lain,” kata Azalina dalam kenyatannya, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum berlepas pulang dari Vientiane, Laos mengumumkan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak RM62.59 bilion di Belanda.

Award akhir yang dikatakan diperoleh melalui proses timbang tara pada 29 Februari tahun lepas yang dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa kepada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award akhir sebanyak US$14.9 bilion itu, kumpulan Sulu berkenaan dilaporkan telah cuba menyita aset syarikat milik Malaysia, Petronas di Luxembourg, aset di Belanda dan juga menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis, termasuk sebahagian daripada Kedutaannya.

Menurut Azalina, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague itu menunjukkan pencapaian Malaysia dalam mencabar tindakan undang-undang untuk menghalang penguatkuasaan award yang dikatakan itu di peringkat global, yang merupakan ancaman kepada keseluruhan sistem timbang tara antarabangsa.

Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mendapatkan bayaran kos yang diperintahkan terhadap pihak yang menuntut, berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lalu yang menyokong tindakan Malaysia mencabar award awal Stampa sebelum ini mengenai bidang kuasa, kata Azalina.

“Kerajaan akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Malaysia dilindungi dan dipertahankan pada setiap masa,” ujar beliau.

Katanya lagi, keputusan sedemikian dibuat secara tegas berdasarkan tiga alasan termasuk tiada award akhir boleh diberikan secara sah kerana pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara oleh Mahkamah Sepanyol yang melantiknya, yang seterusnya membatalkan semua tindakan prosedurnya.

“Oleh itu, tiada award timbang tara yang boleh diiktiraf dan dikuatkuasakan. Tribunal timbang tara juga tidak ditubuhkan dengan betul memandangkan pelantikan Stampa dibatalkan, yang membawa kepada penolakan permintaan pihak yang menuntut,” tambah beliau.

Alasan kedua ialah tiada perjanjian timbang tara yang sah wujud menyebabkan tiada prosedur timbang tara boleh berlaku mengikut undang-undang.

“Tidak dapat dipastikan bahawa pihak-pihak berhasrat untuk menyelesaikan pertikaian melalui timbang tara walaupun mereka berbuat demikian, klausa yang didakwa dirujuk oleh pihak yang menuntut dalam apa jua keadaan tidak berfungsi dan tidak boleh dipercayai,” kata Azalina.

Alasan terakhir ialah penangguhan penguatkuasaan yang luar biasa bagi award akhir yan dikatakan di Paris adalah alasan lanjut untuk penolakan yang menyebabkan award itu tidak mendapat pengiktirafan dan penguatkuasaan di Belanda, katanya. – SM

BACA Kerajaan akan terus menentang tuntutan kumpulan Sulu

BACA Tuntutan Sulu sepatutnya selesai di Sepanyol

(Visited 43 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button