Nasional

Pameran UNLOCK: FCM Graduation Show 2022 Cetus Gelombang Baharu dalam Industri Kreatif

Para pelajar Fakulti Multimedia Kreatif (FCM) mencetuskan gelombang baharu dalam industri kandungan kreatif apabila menghasilkan karya bermutu dalam pameran ‘UNLOCK: FCM Graduation Show 2022’, di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Ia adalah satu kejayaan menganjurkan pameran rekacipta kreatif secara fizikal bagi pelajar-pelajar tahun akhir selepas negara beralih ke fasa endemik. Sebanyak 89 projek tahun akhir yang berkualiti dalam pameran itu membuktikan para pelajar mampu melahirkan karya yang bernilai tinggi melalui suasana persekitaran kondusif yang tersedia di kampus dan kelas.

Ts. Dr. Lim Kok Yoong

Dekan FCM, Ts. Dr. Lim Kok Yoong berkata, pameran berkenaan adalah untuk meraikan kejayaan para pelajar menyiapkan projek tahun akhir dan sekali gus menjadi sebahagian daripada latihan serta persediaan untuk mereka memasuki alam pekerjaan sebenar dalam industri kreatif.

‘Pameran Graduasi UNLOCK: FCM 2022’ mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang berminat melihat rekaan multimedia kreatif di MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

“Pameran ini dibuka kepada orang awam untuk membolehkan mereka menilai hasil kerja keras para pelajar dan pada masa yang sama pemain industri boleh mencari bakat-bakat baharu yang mereka gemari. Pihak industri juga boleh menyaksikan bahan pameran berkualiti yang terhasil daripada korikulum subjek di FCM,” tambahnya.

Dr. Lim berkata, pameran tahunan itu di e-Galeri itu adalah platform penting untuk pelajar FCM mempersembahkan kreativiti dan mempromosikan program-program fakulti tersebut kepada masyarakat.

Sy Nurleyana Wafa Sy Naguib Wafa

Pensyarah FCM, Sy. Nurleyana Wafa Sy. Naguib Wafa berkata, secara tradisinya, pameran pelajar tahun akhir itu adalah acara yang amat dinanti-nantikan oleh warga MMU dan masyarakat untuk melihat bakat-bakat terbaik dalam kalangan pelajar FCM.

“Tahun ini, kita meraikan pencapaian pelajar dengan mempersembahkan projek terbaik dalam program Rekabentuk Pengiklanan, Rekabentuk Interface, Seni Media, Kesan Visual, Realiti Maya (VR), Grafik Gerakan dan Model 3 Dimensi dan Animasi,” katanya.

Raisa Musthofa
Siti Munirah Razaly
Nur Afshaa Mohd Ameeruddin

Pelajar, Raisa Musthofa, 23, Siti Munirah Razaly, 24, dan Nur Afshaa Mohd Ameeruddin, 23, mempamerkan projek kandungan kreatifnya bertajuk ‘Virtual Reality Simulation for Vehicle Inspection Routine’ untuk membantu calon-calon menduduki 28 bahagian pemeriksaan dalam ujian lesen memandu Jabatan Pengangkutan Jalan.

Simulasi Virtual Reality untuk kenderaan dapat membantu calon JPJ untuk membuat persiapan menduduki peperiksaan JPJ apabila
boleh mencuba sebanyak 28 bahagian pemeriksaan secara virtual.

Raisa berkata, ia memberi alternatif dalam kaedah pembelajaran secara Realiti Maya semasa pemeriksaan rutin kenderaan, berbanding kaedah tradisional. “Projek ini menyediakan platform untuk calon-calon menguji dan berlatih secara maya tentang rutin-rutin sebelum mereka memulakan pemanduan,” kata Siti Munirah.

Nur Afshaa pula berkata, idea untuk menghasilkan ciptaan itu tercetus selepas membaca beberapa laporan berita dan kandungan media sosial tentang kesukaran calon dalam belajar memandu. Mereka terpanggil untuk memudahkan kaedah belajar calon lesen memandu dengan menggunakan teknologi terkini seperti realiti maya untuk kegunaan sekolah memandu.

Projek lain pula, “MITRICA” oleh pelajar Loh Zi Yang, 21, menampilkan ciptaan multimedia kreatif bagaimana sesebuah perniagaan kecil boleh menggunakan aplikasi tetingkap timbul dengan teknologi hijau pada masa depan.

Zi Yang menggunakan basikal elektrik yang dilengkapi dengan storan mudah alih dan panel solar untuk menghasilkan peranti mempunyai rekabentuk menarik dengan kos yang mudah dan guna tenaga yang rendah.

UNLOCK: FCM Graduation Show 2022 mempamerkan kandungan kreatif yang berpotensi untuk mencipta gelombang baharu dalam industri itu.

Para pengunjung pameran, Azzidin Abd. Aziz, dan isterinya, Zarina Abdullah, berasa kagum dengan kualiti dan kreativiti projek-projek yang dipamerkan oleh para pelajar. “Saya percaya, hasil kerja ini bukan sahaja layak untuk dipamerkan di pameran tempatan dan antarabangsa tetapi juga mempunyai nilai komersil yang tinggi,” kata Azzidin dari Subang Jaya.

Azzidin Abd. Aziz

Zarina yang merupakan seorang arkitek berkata, karya-karya dalam pameran itu mencerminkan kesungguhan para pelajar kerana ia setanding dengan kehendak industri kreatif negara.

(Visited 535 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button