Politik

Langkah Anwar: Dedah nama supaya rakyat kenal siapa mereka

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk mendedahkan segera senarai nama ahli Parlimen daripada Parikatan Nasional yang menyokong beliau untuk mengambil alih kerajaan.

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa, pendedahan itu perlu supaya rakyat kenal kumpulan terbabit yang dianggap sebagai kemaruk kuasa dan menggugat kestabilan negara.

“Di saat rakyat dalam keresahan,serta penularan wabak yg mengancam nyawa,bagaimana boleh mereka melayan kemaruk kuasa dan cuba menggugat kestabilan negara.

“Kita harap senarai sebenar segera di dedah supaya rakyat kenal siapa mereka,” kata Annuar.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen dijadual akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Dalam kenyataannya pada dua hari lalu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, dia akan mempersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk mengambil alih kerajaan daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

“Pada majlis mengadap itu, saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Pada 22 September lalu, ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sabah sedang rancak berlangsung ANwar membuat pengumuman mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Anwar mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

“Secara konklusifnya, (jumlah majoriti) kuat dan kukuh. Saya tidak bercakap mengenai empat, lima, enam (Ahli Parlimen) tapi lebih daripada itu.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas menghadap Agong dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama Anwar mendakwa mempunyai majoriti dan sokongan ahli Parlimen pihak lawan untuk menyokongnya mengambil alih kerajaan.

Pada September 2008 beliau mendakwa perkara yang sama tetapi terbukti tidak benar.

Selepas Perikatan Nasional mengambil ahli tampuk kempimpinan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Februari lalu beberapa pemimpin Pakatan Harapan juga mendakwa mereka mempunyai ‘nombor’.-SM

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button