Mahkamah

Palsu tandatangan: Bekas penolong Eksekutif Felcra dipenjara, denda RM30,000

“SAYA akui kesilapan yang telah dilakukan dan menyesal. Saya juga mengalami kesukaran untuk menampung keluarga selepas diberhentikan kerja sejak lebih setahun lalu, termasuk perlu menampung keluarga, terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

Demikian rayuan tertuduh, Norhisyam Hamidin, bekas Penolong Eksekutif Felcra yang dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

Mahkamah memerintahkan demikian selepas tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan memalsukan tandatangan bagi menunaikan cek bernilai RM34,920, empat tahun lalu.

Hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib juga memerintahkan hukuman penjara terhadap Norhisyam, 42, yang beralamat di Jerantut, Pahang, ditambah tiga bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh didakwa memalsukan tandatangan milik Naim Desa iaitu Yang Dipertua Koperasi Peserta-peserta Gugusan Tembeling Tengah Jerantut Berhad, bagi menunaikan cek nama koperasi itu di Bank Islam cawangan Jerantut antara 14 November sehingga 7 Disember 2016 dengan niat hendak menggunakan cek itu untuk kegunaan diri sendiri.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu semasa dia dilantik sebagai pegawai yang menguruskan hal berkaitan akaun dan kewangan koperasi itu, pada mesyuarat yang diadakan sekitar 2016.

Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan itu untuk menunaikan cek yang melibatkan nilai antara RM6,750 dan RM12,000.

Tertuduh ditangkap pada 27 November 2019.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung empat anak berusia antara empat hingga 18 tahun, termasuk salah seorang yang akan ke institusi pendidikan tinggi tidak lama lagi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari. – BERNAMASM

(Visited 115 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button