BanjirLuar Negarapilihan

Pakistan dilanda banjir teruk hingga jambatan besar pun hilang sekelip mata!

PESHAWAR: Puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka di utara Pakistan semalam, selepas paras sungai meningkat secara mendadak dan memusnahkan jambatan utama, ketika banjir yang mengorbankan nyawa membawa kemusnahan di seluruh negara.

Banjir kilat yang buruk di wilayah utara Khyber Pakhtunkhwa menyebabkan Sungai Kabul melimpah, menghanyutkan sebuah jambatan besar dalam sekelip mata, menutup akses ke beberapa daerah melalui jalan raya.

Di kawasan hilir, kebimbangan terhadap situasi banjir di sekitar tebing sungai mendorong kira-kira 180,000 penduduk di daerah Charsadda meninggalkan rumah mereka, demikian menurut pegawai bencana, dengan beberapa penduduk bermalam di lebuh raya bersama ternakan mereka.

Menteri perubahan iklim Pakistan berkata, hujan monsun dan banjir yang bersejarah di negara itu menjejaskan lebih 30 juta penduduk sejak beberapa minggu lalu dan menyifatkan keadaan itu sebagai ‘bencana kemanusiaan yang disebabkan iklim dengan kadar epik’.

Pasukan tentera menyertai pihak berkuasa negara dan wilayah dalam tindak balas terhadap banjir, dan ketua tentera Pakistan, semalam melawat wilayah selatan Balochistan yang dilanda hujan lebat.

“Rakyat Pakistan adalah keutamaan kami dan kami tidak akan mengenepikan sebarang usaha untuk membantu mereka dalam masa sukar ini,” kata ketua tentera, Jeneral Qamar Javed Bajwa.

Pemimpin Pakistan merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk mendapatkan bantuan dan merancang melancarkan dana rayuan antarabangsa.

Kementerian luar berkata, Turkiye sudah menghantar pasukan untuk membantu usaha menyelamat.

“Magnitud bencana ini adalah lebih besar daripada yang diramal,” kata Perdana Menteri, Shehbaz Sharif melalui Twitter, selepas melawat kawasan banjir.

Di negara jiran, Afghanistan, pentadbiran Taliban turut merayu bantuan selepas wilayah tengah dan timur dilanda banjir.

Pihak berkuasa bencana memaklumkan, jumlah kematian akibat banjir pada bulan ini di Afghanistan meningkat kepada 192 kes.

Ribuan ternakan terbunuh dan 1.7 juta pokok buah-buahan musnah, menimbulkan kebimbangan mengenai bekalan makanan kepada keluarga di negara itu pada bulan mendatang dengan cuaca yang lebih sejuk, sementara negara menangani krisis ekonomi. – REUTERS

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button