NegeriRencah Hidup

Saniy pelajar UUM ukir kejayaan antarabangsa jadi Felo Universiti Texas

SIAPA Muhammad Saniy Samsudin? Mungkin tidak menjadi hal pada sesetengah pihak tetapi beliau sebenarnya bukan calang-calang anak muda.

Anak muda seperti inilah yang perlu diberikan perhatian selaras dengan usaha Kerajaan Malaysia Madani untuk melahirkan generasi muda hebat pada masa depan.

Saniy berada di Universiti Texas sebagai Felo.

Ketika SUARA MERDEKA menyiarkan kisah Saniy yang merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM) ini pastinya sibuk menggalas tugas sebagai Felo Akademik di University of Texas, Amerika Syarikat.

Beliau telah dipilih untuk menyertai program Felo Akademik Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).

Menerusi program ini, Saniy bersama-sama dengan pemimpin belia dari Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam akan berbincang dan mengkaji perkembangan, sejarah, cabaran dan kejayaan perusahaan dan pemimpin masyarakat di Amerika Syarikat serta di peringkat global.

Segala perbelanjaan dan tiket penerbangannya dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat di bawah YSEALI.

Pastinya anak kedua dari tiga beradik ini yang berasal dari Jitra, Kedah, anak kepada pasangan suami isteri Samsudin Oli, 58, dan Roziana Saad, 56, menjadi kebanggaan  keluarga.

Tambahan pula Saniy pernah berhenti dari pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2017 dan menyambung belajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyiur, Jitra, hanya hendak menjaga ibunya yang diserang penyakit angin ahmar.

Pengorbanan ini berbalas apabila beliau memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekaligus menjadi pelajar terbaik peringkat Kedah 2018.

Saniy berbangga membawa nama Malaysia di persada antarabangsa sebagai felo akademik YSEALI di Universiti Texas.

Beliau yang masih mahu terus mengalas tanggungjawab sebagai anak sekali lagi memilih UUM supaya tidak berjauhan dengan keluarga.

Saniy juga tidak menoleh lagi apabila menerus mempamerkan bakat kepemimpinan dan kecemerlangan di dalam akademik.

Sekalipun sebenarnya Saniy berhadapan dengan pemilihan yang sangat sengit untuk layak sebagai calon YSEALI tetapi akhirnya berjaya terpilih selepas melalui saringan yang agak ketat.

Sementara itu Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan melahirkan kegembiraan dengan pemilihan Saniy dan mengharapkan beliau dapat memanfaatkan pendedahan di peringkat global itu untuk memanfaatkan masyarakat Malaysia nanti.

Beliau berkata, peluang yang diberikan kepada siswa UUM diperingkat antarabangsa ini membuktikan pelajar dari kampus ini sentiasa ke hadapan baik diperingkat akademik mahu pun untuk berkongsi idea inovatif dalam bidang keusahawanan sosial dan pembangunan ekonomi.

Beritahu ayahnya, Samsuddin, Saniy kini sibuk dengan aktiviti sebagai felo bersama rakan lain itu masih sempat menghubungi keluarga untuk khabar berita.

“Semoga Saniy sentiasa dalam peliharaan Allah dan mencatat kejayaan yang membanggakan kepada negara ini sebelum pulang ke tanah air selepas lima minggu berada di sana untuk menyambung latihan amali di Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching, Sarawak. – SM

BACA Pelajar UUM terbabit latihan Palapes positif Covid-19, kampus ditutup

BACA UniMAP, UUM kerjasama bangunkan Sistem Elektronik jaga padang golf

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button