EkonomiNegeri

Raja Muda Perlis berkenan rasmi Jubli Emas Ke-50 CIMA

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Kemuncak Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Cement Industries Of Malaysia (CIMA) Berhad’ yang diadakan di Bukit Keteri, Chuping, Perlis pada petang tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi CIMA, Datuk Zaiviji Ismail; Pengarah Urusan UEM Group Bhd yang juga Ahli Lembaga Pengarah CIMA, Datuk Mohd Izani Ghani dan Pengarah Urusannya, Sharuddin Omar Hashim.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan dan seluruh warga kakitangan CIMA di atas kejayaan beroperasi selama 50 tahun yang sudah tentu merupakan asas untuk syarikat ini terus melangkah lebih jauh dan memacu landskap infrastruktur negara ini.

Sebagai sebuah syarikat yang mulanya bertapak di Perlis, baginda amat berbangga dengan pencapaian demi pencapaian yang dilakar oleh CIMA dalam tempoh lima dekad ini, sehingga kini menjadi antara syarikat pengeluar simen dan konkrit yang terbesar dalam negara.

Raja Muda juga amat bersyukur dengan komitmen berterusan yang dizahirkan CIMA untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Perlis, menjaga kelestarian alam sekitar dengan sebaik mungkin dan menitikberatkan kebajikan gologan yang memerlukan di negeri ini.

Besarlah harapan baginda juga agar CIMA kekal mencatatkan lebih banyak kejayaan di masa hadapan dan mudah-mudahan, limpahan daripada kejayaan itu nanti akan terus dapat turut sama dirasai oleh negeri dan rakyat Perlis.

Sempena majlis tersebut turut diadakan ialah Taklimat Di Sepanjang Milestone Wall, Tayangan Video Korporat CIMA, Menandatangani Plak Penyempurnaan Kemuncak Sambutan Jubli Emas CIMA dan juga Tayangan Video Jubli Emas CIMA 50 tahun selain Pengurniaan Anugerah Lama Berkhidmat bagi meraikan 40 kakitangan yang sudah berkhidmat lebih daripada 30 tahun di syarikat yang kini mempunyai seramai 940 orang warga kerja.

Pihak CIMA turut mengadakan kerjasama strategik bersama dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menjayakan beberapa inisiatif khidmat Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) mengambil sempena sambutan besar-besaran ini. – SM

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button