Nasional

Pakej rangsangan ekonomi hadir tepat dalam waktu sukar – Wahid Omar

TERDAPAT pelbagai reaksi terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri petang semalam. Ramai yang menyahut baik pakej menyeluruh berjumlah RM250 bilion ini.

Walau bagaimanapun ada juga yang mempertikaikan jumlah yang disebut memandangkan jumlah suntikan fiskal secara langsung adalah berjumlah RM25 bilion.

Berikut adalah pandangan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar. 

Bagi saya pakej rangsangan ini memang prihatin rakyat dan menyeluruh.

Memandangkan telah ramai yang memberikan ulasan terhadap langkah-langkah terperinci, izinkan saya memberikan ulasan dalam konteks pengurusan kewangan/ fiskal secara keseluruhan.

Dalam mentadbirkan sesebuah negara, selain daripada suntikan fiskal langsung melalui bajet Kerajaan Persekutuan, mana-mana kerajaan perlu menggembleng dana daripada pelbagai sumber untuk memberi rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi.

Ini termasuklah dana-dana daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) dan sektor swasta. Lagipun kira-kira dua pertiga daripada ekonomi negara kini dipacu oleh sektor swasta.

Pada 27 Februari 2020 lalu, bekas Perdana Menteri ketujuh telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) bernilai RM20 bilion.

Cerita mak cik kiah
Ilustrasi dari Media Sosial

Daripada jumlah ini, hanya RM3.5 bilion adalah suntikan fiskal langsung daripada Kerajaan Persekutuan. Selebihnya adalah dari sumber luar bajet iaitu RM10 bilion daripada suntikan pengurangan kadar 4% caruman pekerja KWSP, RM3.5 bilion dana pinjaman BNM, BSN dan lain-lain agensi dan RM3 bilion daripada sumber lain.

Dalam Bajet 2020 yang telah dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober 2019, kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM297 bilion berbanding jumlah hasil RM244.5 bilion.

Ini bermakna setelah mengambil kira terimaan balik pinjaman RM0.8 bilion, kerajaan akan mengalami defisit fiskal sebanyak RM51.7 bilion atau 3.2% daripada KDNK pada nilai semasa RM1.608 bilion.

BACA:

Krisis ekonomi global akibat wabak Covid-19 akan mengurangkan hasil kerajaan dengan ketara.

Sebagai contoh, seingat saya, setiap USD1 kejatuhan harga minyak mentah Brent setong akan mengakibatkan pengurangan hasil Kerajaan sebanyak kira-kira RM300 juta setahun.

Bajet 2020 telah disediakan berdasarkan andaian purata harga minyak mentah Brent USD62 setong. Harga minyak Brent terkini adalah USD25 setong dan purata harga untuk bulan Mac adalah USD35 setong.

Ini bermakna sekiranya purata harga minyak Brent untuk tahun 2020 adalah pada harga USD35 setong, hasil kerajaan akan berkurangan sebanyak kira-kira RM8 bilion.

Hasil cukai pendapatan juga dijangka berkurangan akibat penurunan pendapatan bercukai individu dan korporat. Jika diandaikan hasil kerajaan keseluruhannya akan berkurangan sebanyak RM22 bilion, ia akan meningkatkan defisit fiskal kepada kira-kira RM74 bilion atau 4.6% daripada KDNK.

Dalam pembentangan pakej rangsangan prihatin, Perdana Menteri telah mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion iaitu RM20 bilion daripada PRE 2020 yang terdahulu dan RM230 bilion rangsangan tambahan.

Daripada jumlah RM230 bilion ini, RM22 bilion adalah suntikan fiskal langsung, RM100 bilion dalam bentuk moratorium pinjaman, RM55 bilion dalam bentuk jaminan, RM40 bilion pengeluaran KWSP dan RM13 bilion lain-lain sumber.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suntikan fiskal langsung sebanyak RM25 bilion, 1.6% daripada KDNK (pada nilai semasa yang sama).

Dengan tambahan RM25b ini, defisit fiskal akan meningkat kepada RM99 bilion atau 6.2% daripada KDNK.

Saya difahamkan terdapat beberapa langkah peningkatan hasil dan pengurangan perbelanjaan operasi yang dapat mengurangkan defisit fiskal kepada RM74 bilion atau 4.6% daripada KDNK.

Defisit 4.6% daripada KDNK ini adalah lebih rendah daripada defisit 6.7% yang pernah dicatatkan pada tahun 2009 semasa Malaysia mengalami krisis kewangan global.

Ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan akan memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan.

Dan kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

Defisit di bawah paras 5% ini akan mengurangkan tekanan terhadap penarafan kredit antarabangsa Malaysia semasa A3/A- .

Ia juga akan memberikan ruang untuk kerajaan melaksanakan langkah-langkah tambahan sekiranya wabak Covid-19 berlarutan melangkaui tempoh enam bulan.

Secara keseluruhan, pakej rangsangan yang bermatlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi yang telah diumumkan adalah bertepatan (appropriate) dalam keadaan yang amat sukar, tidak pernah dilalui (unprecedented) dan tidak menentu ini.

Marilah kita bersikap membina dan bersama-sama memainkan peranan masing-masing mengatasi krisis global ini yang mengancam nyawa, kehidupan dan kesejahteraan kita. – SM

(Visited 250 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button