Nasional

Pakatan Harapan jangan mengajar itik berenang!

KOMENTAR

PUSINGLAH macam mana pun, yang pasti rakyat yang sedang `sesak’ resah gelisah mematuhi perintah kawalan pergerakan waktu ini, sedang tertunggu-tunggu imbuhan buah tangan kerajaan.

Wabak COVID-19 yang melanda negara memasuki gelombang ke-2 mengakibatkan dunia separuh terhenti.

Apabila seorang penyokong Pakatan Harapan, Datuk A Kadir Jasin menganggap pakej diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin semalam sebagai kononnya ‘pakej Makcik Kiah tertipu’, wartawan veteran itu boleh bercakap apa sahaja.

Juga, kononnya dia mendakwa daripada RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri itu, hanya sekitar RM22 bilion sahaja duit kerajaan, selebihnya duit rakyat, A Kadir boleh `memberi alasan macam-macam untuk menegakkan hujahnya’.

Yang penting dan harus diketahui oleh rakyat, “mengapa waktu engkau (PH) berkuasa dulu (sebelum 1 Mac 2020 sejak 9 Mei 2018), tak terfikir pula idea-idea seperti mana mirip yang dibawa kerajaan Muhyiddin hari ini”.

BEREBUT KUASA, MAHU JADI PM

Bila jadi kerajaan dulu, kelihatan tak tengok pun kebajikan rakyat.

Malah bergaduh sesama sendiri setiap hari. Tidak ada kisah lain. Berebut kuasa, berebut kuasa. Mahu jadi PM, mahu jadi PM.

Seorang netizen melayangkan komennya kepada portal ini: “…nak pakai duit zakak (zakat) lah…kacau duit Tabung haji…kacau EPF…jual aset tabung haji….korang Islam tapi hati y*hu** tanpa membantu kebajikan rakyat…pergi m**p*s lah korang PH…dalam keadaan sekarang korang langsung tidak membantu..malah nak merosakan keadaan negara…”

A Kadir Jasin
A Kadir Jasin

Kalaulah A Kadir boleh semak balik, betulkah fakta ini?

Tahun 2018, PH mahu rakyat `ikat perut’. Rakyat perlu berkorban, kata mereka.

Bantuan dipotong atau dimansuhkan. Cukai SST menyebabkan harga barang naik dengan lebih tinggi lagi.

Waktu itu pasaran saham merosot sehingga menjadi paling corot dalam dunia kerana menteri PH mengatakan `tak reti untuk berhenti berbohong’.

Ramai yang `terbakar’ dan rugi teruk dalam pasaran saham serta unit trust.

Pelabur-pelabur asing berterusan tarik dana mereka keluar negara.

Dividen-dividen yang dibayar oleh tabung-tabung Rakyat seperti ASN/ASB dan Tabung Haji juga jatuh kepada paling rendah dalam sejarah.

Harga sawit tidak pulih sehingga timbul jenaka `rakyat disuruh minum sesudu sehari’.

PRESTASI MENTERI PH MEROSOT

Memasuki 2019, rakyat dihidangkan dengan prestasi merosot sebahagian menteri sehingga membawa peletakan jawatan menteri pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Janji-janji PH terus dituntut rakyat.

Bukankah A Kadir sendiri menegur tindak tanduk menteri tertentu waktu itu yang menampakkan kedangkalan tersendiri?

Prestasi PH dikatakan begitu terumbang-ambing sebagai kerajaan.

Di saat-saat `menghembuskan nafas terakhir’, PH kalah kesemua lima daripada enam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis , kecuali Sandakan yang dipertahankan DAP.

KALAH 5 PRK 2019

Daripada 10 PRK sejak PRU-14 (2018), lima kerusi berjaya dipertahankan oleh Pakatan Harapan iaitu PRK DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Port Dickson dan kerusi Parlimen Sandakan.

Tiga PRK lagi iaitu Parlimen Cameron Highlands, DUN Rantau dan terbaharu semalam 18 Januari 2020, Kimanis dipertahankan oleh BN.

Kelebihan 2-0 berpihak kepada BN apabila dua lagi iaitu PRK DUN Semenyih dan Parlimen Tanjung Piai berjaya dirampas kembali oleh BN.

Apakah makna kekalahan Pakatan Harapan dalam persaingan lima PRK terbaharu pasca PRU-14 yang berlangsung pada 2019 tersebut?

Jika dinilai dari perkembangan momentum 10 PRK ini yang menyaksikan BN kalah di kesemua empat PRK pada 2018 (Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson), tetapi pada 2019 dan awal 2020 pembangkang waktu itu, BN menang kesemua lima lagi, ia jelas bermakna `ekonomi perut’ benar-benar didambakan rakyat.

NASIB MELAYU TERABAI?

Di bandar-bandar besar, pinggir bandar dan ceruk-ceruk kampung ketika SUARA MERDEKA menghadiri kenduri-kendara, tak kira majlis kecil besar, majlis kahwin, aqiqah anak, sambutan hari jadi, para tetamu bercerita di bawah khemah kecil dipasang dengan rumah isu satu ini sahaja – “nasib Melayu tidak terjamin hari ini”.

Kata mereka, orang Melayu sudah hilang status quo dalam menentukan untung rugi, jatuh bangun dan simpang siur nasib bangsanya sendiri – meskipun masih membentuk bangsa majoriti dalam Malaysia.

Kefahaman mengenai kedudukan orang Melayu sebagai bangsa teras dalam kemajmukan Malaysia semakin pudar secara perlahan-lahan. Prinsip first amongs equal atau ‘pertama di antara yang sama’ – sebagai prinsip asas pembinaan Malaysia semakin dicabar oleh pihak yang mahu menggantikannya dengan prinsip- prinsip yang lain.

Pembawakan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh parti tertentu dan sekutunya telah mengancam, membelenggu dan meresahkan setiap tubuh dan jiwa raga orang Melayu. Sama ada di desa mahupun di pinggiran bandar, orang Melayu merasakan bahawa ‘Malaysian Malaysia’ telah mencengkam identiti dan jati diri ke-Melayuan mereka.

Kemenangan PH dalam PRU-14 itu seakan satu kejanggalan. Janggal kerana hari ini, apabila orang Melayu mahu membela kepentingan bangsanya, mereka dikatakan rasis, tidak toleran dan pada satu ketika digelar pula sebagai ‘Taliban’.

TUNTUT JANJI-JANJI MANIFESTO

Lebih mengharukan lagi, rakyat masih terus menuntut teras-teras utama janji-janji Pakatan Harapan dalam manifesto PRU-14 yang lepas.

Mereka jelak dengan `analisis-analisis’ hutang negara, projek terbengkalai dan `kes-kes naik turun mahkamah’ yang kelihatan tidak diuruskan `rule of law nya dengan baik’.

Jadi, masih laku kah hujah-hujah A Kadir hari ini, yang menokok tambah pula satu lagi watak, Makcik Limah dengan memperlecehkan Makcik Kiah, analogi yang disebut Perdana Menteri dalam pakej rangsangan ekonomi kerajaan?

Ya, bila sudah tak jadi kerajaan, macam-macam lah pula idea kamu ya A Kadir/PH. – SM

(Visited 733 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button