Nasional

Pakar perubatan China kagumi dedikasi petugas kesihatan Malaysia

PASUKAN pakar perubatan dari Wilayah Guangdong China melahirkan kekaguman mereka terhadap tahap kepakaran, dedikasi dan profesionalisme petugas penjagaan kesihatan Malaysia dalam usaha menangani pandemik COVID- 19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan yang diedarkan semasa sidang akhbar kementerian itu di sini hari ini berkata pasukan pakar perubatan China tersebut turut memuji Malaysia atas tindakan pantas, inklusif dan padu yang diambilnya dalam menangani pandemik tersebut.

“Pujian itu dizahirkan terutamanya dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terbukti sangat berkesan dalam menyumbang ke arah penurunan jumlah harian kes positif  COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia,” katanya.

Dr Adham Baba

Dr Adham berkata pasukan pakar perubatan China itu diketuai Dr Li Jun, Ketua Pakar Perubatan Tradisional Cina.

Pasukan itu terdiri daripada lapan pakar kesihatan dalam pelbagai bidang seperti penyakit berjangkit, pernafasan, rawatan rapi, mikrobiologi/virologi, jangkitan nosokomial dan perubatan tradisional Cina. Mereka tiba di Malaysia pada 18 April dan akan berlepas pulang pada Ahad (3 Mei).

Dr Adham berkata para pegawai kesihatan Malaysia dan anggota fakulti perubatan beberapa universiti awam dari Semenanjung serta Sarawak dan Sabah, berpeluang bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan teknikal mengenai pengurusan kes klinikal, kawalan jangkitan dan langkah-langkah pencegahan serta peraa perubatan tradisional Cina dalam menguruskan kes COVID-19.

Beliau berkata semasa sidang akhbar hari ini, pasukan pakar perubatan dari China itu turut berkongsi hasil dan penemuan lawatan mereka.

“Pasukan itu turut mengetengahkan beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan Malaysia dalam pengurusan COVID-19, terutama bagi mencegah pengulangan jangkitan itu secara domestik dan kes import selain meneruskan dan memperluas kawasan liputan bagi ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR),” katanya.

“Aspek lain termasuk memastikan perlindungan bagi tiga barisan hadapan iaitu hab-hab pengangkutan, hospital dan komuniti serta penyesuaian PKP berdasarkan perkembangan semasa pandemik itu.

“Penggunaan Teknologi Maklumat bagi pengesanan kesihatan rakyat, membuka semula perniagaan dan pemulihan aktiviti sekolah secara beransur-ansur juga perlu dipertimbang,” katanya.

Kejayaan lawatan kerja pasukan pakar perubatan itu adalah hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kedutaan China di Malaysia.

Objektif lawatan kerja itu adalah bagi membolehkan perkongsian maklumat dan pengalaman serta syor-syor antara Malaysia dan China dalam pengesanan, pengawasan dan rawatan COVID-19.

Dr Adham berkata Malaysia menzahirkan penghargaan kepada China kerana telah menghulurkan bantuan mereka menerusi perkongsian ilmu serta sumbangan bekalan perubatan semasa negara berjuang menentang COVID-19.

“Lawatan kerja ini adalah bukti hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara dan Malaysia berharap dapat menjalinkan kerjasama lanjut dengan China untuk manfaat komuniti di kedua-dua negara,” katanya.

Terdahulu, Dr Adham menerima sumbangan RM300,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Bank of China (M) Berhad Zhang Min.

Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung di Kementerian Kesihatan di sini dengan disaksikan oleh Duta China ke Malaysia, Bai Tian.

Sumbangan itu adalah bagi mengisi Tabung COVID-19 Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha Malaysia dalam memerangi pandemik tersebut. – BERNAMA

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button