Nasional

Pakar: Peningkatan Daya Saing Malaysia Cerminan Keberkesanan Tadbir Urus

Kuala Lumpur, 18 Jun 2025 – Lonjakan 11 anak tangga Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 disifatkan sebagai bukti nyata keberkesanan pelbagai reformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut pakar dan penganalisis tempatan.

Pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan, berkata pencapaian tersebut menunjukkan pengiktirafan jelas masyarakat antarabangsa terhadap usaha Malaysia dalam memperkukuh dasar ekonomi dan memperangi rasuah.

“Meskipun terdapat suara yang masih meragui pelaksanaan reformasi ini, hakikatnya penilaian badan antarabangsa menunjukkan transformasi negara berada di landasan yang betul,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi dari Universiti Malaya menyifatkan peningkatan ranking tersebut sebagai cerminan penambahbaikan dalam tadbir urus dan kerangka institusi negara.

“Antara faktor utama adalah rasionalisasi birokrasi, peningkatan kecekapan pentadbiran serta pelaksanaan Strategi Antirasuah Nasional 2024-2028 yang telah memberikan kesan ketara terhadap persepsi luar terhadap Malaysia,” ujar beliau.

Namun begitu, Dr Khoo turut mengingatkan bahawa kejayaan ini bukan alasan untuk kerajaan berpuas hati.

“Kita tidak boleh leka. Perang terhadap rasuah dan pembaharuan institusi mesti diteruskan secara konsisten.”

Malaysia kini menduduki tangga ke-23 dalam laporan WCR 2025 yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) yang berpangkalan di Switzerland — kedudukan terbaik negara sejak lima tahun lalu.

Lonjakan ini turut memperkukuh naratif bahawa pendekatan reformasi ekonomi dan tadbir urus yang berlandaskan prinsip Malaysia MADANI semakin mendapat kepercayaan antarabangsa serta mampu meletakkan negara sebagai kuasa ekonomi serantau menjelang 2030.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button