Nasional

MAIPs pandang serius titah Raja Perlis berhubung gejala rasuah

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengambil serius pedoman titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bahawa rasuah perlu dipandang jijik oleh masyarakat di negeri ini.

Baginda ketika bertitah minggu lalu berhasrat agar isu rasuah dibanteras sekeras-kerasnya. Masyarakat perlu belajar daripada sejarah keruntuhan pelbagai tamadun dan negara disebabkan oleh gejala rasuah.

Oleh itu, perubahan pemikiran rakyat untuk menangani isu rasuah perlu diusahakan secara bersama di segenap peringkat.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengambil bahagian di dalam program ‘Eksplorasi Berbasikal Santai Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis yang ke-79’ di kawasan Kampung Nelayan Warna-Warni Program Transformasi Di Raja Seberang Ramai Kuala Perlis baru-baru ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs, meminta kerjasama orang ramai melaporkan kepada ketua-ketua agensi berkaitan jika ada dalam kalangan pekhidmat agensi agama Islam di negeri ini yang boleh dibuktikan dengan fakta telah terlibat dengan rasuah, supaya siasatan dan langkah-langkah pencegahan bagi menghentikannya dapat dilakukan dengan segera.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menambah bahawa pihak pengurusan MAIPs sentiasa memperkemaskan segala prosedur dan tindakannya sebagai langkah kawalan untuk cuba mengelakkan warga kerjanya daripada membuat salah laku rasuah yang bukan sekadar salah di sisi undang-undang, namun juga salah di sisi agama.

Untuk rekod, pihak MAIPs telah melaksanakan ‘Ikrar Bebas Rasuah (IBR)’ pada 25 Mei 2017 dan menjadi antara agensi terawal melaksanakan IBR semenjak ianya diperkenalkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

(Visited 271 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button