Uncategorized

Pakar Akademik Mahir Perlembagaan Terlibat Dalam Pembentukan RUU Antilompat Parti

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti pada sesi Parlimen Julai ini.

Perdana Menteri berkata, bagi usaha itu kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti dan menggubal RUU terbabit.

“Satu lagi untuk Akta Antilompat Parti ini, kita akan mewujudkan jawatankuasa khas untuk meneliti dan menggubal, terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang.

“Kita juga akan menjemput pakar akademik yang mahir perlembagaan untuk terbabit sama. Sasaran kita untuk bentangkan akta ini pada sesi (Parlimen) Julai nanti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 yang diadakan di Dewan De’ Seri Endon di sini, hari ini.

Yang turut Hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun.

Mengulas mengenai pembentangan pindaan Perlembagaan esok, Ismail Sabri berharap, pindaan Perkara 10 Perlembagaan membabitkan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan itu dapat diluluskan dengan lebih 148 undi iaitu sokongan majoriti dua pertiga.

“Jadi seperti yang kita tahu, ada juga yang tidak tahu, yang terkeliru, tujuan kita membentangkan pindaan Perkara 10 Perlembagaan ialah untuk membolehkan Akta Antilompat Parti dibentangkan di Parlimen.

“Ini kerana tanpa pindaan kepada Perkara 10, mana-mana undang-undang yang dibentangkan, diluluskan, tidak boleh terpakai kerana akan bertentangan dengan Perkara 10,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak berniat untuk melewat-lewatkan pembentangan akta terbabit.

Katanya, ada pihak terkeliru yang cuba memainkan isu seolah-olah kerajaan tidak ikhlas di dalam soal membentangkan Akta Antilompat Parti,

“Ini kerana daripada pandangan tadi, banyak perkara terperinci yang mereka sebutkan tadi. Ini bermakna perkara terperinci yang mereka katakan tadi boleh dimasukkan dalam Akta Antilompat Parti kerana dalam akta itu, perkara terperinci boleh dimasukkan.

“Banyak tidak setuju, dipecat dianggap sebagai lompat parti, ada tadi yang kata penggabungan antara parti atau menubuhkan gabungan, adakah itu akan dianggap lompat parti?

“Jadi perkara ini akan diperincikan dalam Akta Antilompat Parti. Justeru, tidak ada isu yang kerajaan tidak bersetuju atau melengah-lengahkan tetapi kita ikut peraturan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ada pihak yang mengatakan bahawa dengan terpindanya Perkara 10, ia akan menyekat kebebasan untuk memilih persatuan.

“Di dalam taklimat tadi, seperti diterangkan oleh Peguam Negara, fokus kita sangat jelas iaitu kebebasan berpersatuan masih ada tetapi di dalam pindaan ini disebut mengenai keahlian parti politik berdasarkan tindakan lompat yang dilakukan oleh Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Jadi tidak sebut persatuan, bermakna (ahli) persatuan bebas nak lompat atau sebagainya. Ia hanya membabitkan parti ke parti yang membabitkan ADUN dan Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, ada juga cadangan supaya memasukkan Ahli Dewan Negara di dalam akta terbabit.

“Pada dasarnya kita bersetuju dan kita akan masukkan dalam pindaan itu pada sesi akan datang. Mungkin pindaan akan dibuat pada Akta Antilompat Parti

“Kecuali kalau dipersetujui oleh Speaker (Dewan Rakyat) untuk memasukkan di peringkat jawatankuasa, untuk Ahli Dewan Negara sekali…kalau dibenarkan speaker, kita akan masukkan, kalau perlu notis 14 hari, kita akan buat pada sesi akan datang,” katanya.

Ditanya mengenai ketidakhadiran Ahli Parlimen pembangkang pada sesi taklimat hari ini, Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan wakil rakyat terbabit perlu menghadiri ‘pre council’ iaitu pertemuan sebelum sidang Dewan Rakyat mereka.

“Ada yang hadir mewakili pembangkang,” katanya

Pada sesi taklimat itu, wakil rakyat pembangkang yang hadir ialah Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman; Datuk Rozman Isli (Labuan); Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Wong Kah Woh (Ipoh Timur) dan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching).

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button