fbpx
Nasional
Trending

Apakah orang Melayu tidak layak ambil alih PLUS?

ESOK Kabinet dijangka memutuskan berhubung cadangan pengambil alihan PLUS yang dikemukakan oleh empat pihak swasta.

Pendirian kerajaan berkaitan pengambil alihan itu amat dinanti-nantikan oleh rakyat.

Kerana ini akan membuktikan sama ada arahan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad supaya kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak terlibat dalam perniagaan akan dilaksanakan atau tidak.

Kalau melihat kepada isu pengambil alihan ini sejak Ogos tahun lalu, rakyat juga ingin melihat siapakah lebih berkuasa untuk membuat keputusan sama ada

Kementerian Kewangan yang dipimpin oleh Lim Guan Eng atau Dr.Mahathir sebagai Perdana Menteri.


Menjelang langkah Kabinet untuk membuat keputusan penting tersebut, kini dikatakan sudah ada gerakan atau usaha untuk meletakkan pelbagai syarat yang akan memungkinkan konglomerat Melayu berhadapan dengan  masalah bagi mengambil alih PLUS.

Ketika pembida-pembida tiada masalah untuk memastikan syarat yang dikenakan iaitu  tiada kenaikan tol bagi tempoh tertentu dan harus memberikan diskaun, kini satu lagi isu dibangkitkan iaitu sama ada wajar atau tidak, jaminan kerajaan jika PLUS diambil alih oleh swasta.

Tindakan tersebut menimbulkan persoalan apakah ia satu `mainan halus’ untuk `membunuh’ peluang orang Melayu menguasai PLUS dan mahu dijadikan alasan bagi memastikan Khazanah terus menguasai PLUS biarpun ia bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri.

Mungkin Guan Eng dan Kementerian Kewangan waima Khazanah sendiri boleh memberi hujah bahawa, syarat-syarat tersebut adalah demi melindungi kepentingan rakyat.

Bagi mereka yang tidak tahu fakta sebenar di sebalik kiraan atau kos pengambil alihan itu mereka mungkin akan bersetuju, begitu juga kelompok yang  tidak mahu fikir panjang, mereka juga akan menerima bulat-bulat hujah berkenaan.

Tetapi faktanya, apa yang dilakukan oleh Guan Eng dan Kementerian Kewangan akan dilihat sebagai satu langkah menghalang orang Melayu menguasai PLUS.

Ini memandangkan tanpa jaminan daripada kerajaan, ia akan menyebabkan pihak swasta yang akan mengambil alih syarikat itu akan dikenakan faedah antara enam peratus hingga tujuh peratus apabila membuat pinjaman bank.

Kadar faedah ini jauh lebih tinggi  berbanding kadar tiga peratus jika ada jaminan daripada kerajaan.

Dengan kadar pinjaman yang perlu dibayar balik, ditambah dengan kos `overhead’ dan bayaran pampasan kepada kerajaan, ia boleh menyebabkan syarikat yang akan memgambil alih PLUS kesudahannya `hanya telan air liur’.

Atas sebab itulah Kabinet yang dipimpin oleh Dr. Mahathir perlu membuat keputusan sebijak-bijaknya bagi menentukan siapa yang berhak mengambil alih PLUS berdasarkan penilaian secara profesional dan bukannya berdasarkan fakta dan cadangan mengelirukan serta dan memeningkan semua pihak seperti mana dibentangkan Kementerian Kewangan atau dinyatakan oleh Guan Eng.

Tambahan pula sejak awal lagi rakyat sudah keliru dengan pendekatan Kementerian Kewangan khususnya Guan Eng yang dilihat seolah-olah begitu berkuasa sehingga boleh membuat pengumuman kerajaan mahu membeli atau menjual sesuatu entiti contohnya membeli empat konsesi lebuh raya.

Dalam amalan perniagaan di mana-manapun di dunia, sama ada sesuatu entiti itu mahu dijual atau tidak, ia bergantung kepada ahli Lembaga Pengarah entiti berkenaan, kalau dalam konteks PLUS, sepatutnya Khanazahlah yang membuat keputusan bukannya Menteri Kewangan.

Begitu juga soal sama ada mahu mengambil alih empat lebuh raya di bawah Gamuda.

Apapun dalam PLUS, kita tidak mahu syarat dan peraturan serta fakta yang mengelirukan sengaja dibuat sehingga menimbulkan persoalan adakah ia sebagai salah satu usaha untuk menghalang konglomerat Melayu menguasai PLUS biarpun antara mereka disahkan mengemukakan cadangan terbaik dan paling relevan.

Dan kita juga tidak mahu, ada usaha untuk memberikan PLUS kepada pihak luar dan ia mewujudkan persepsi `siapa sahaja boleh ambil alih PLUS kecuali orang Melayu’.

Mengenali Dr.Mahathir, kita yakin beliau tidak keberatan untuk memberi peluang kepada konglomerat Melayu menguasai PLUS.

Apakah salah untuk orang Melayu yang terbukti keupayaannya dan mengemukakan cadangan yang terbaik, mengambil alih PLUS?

Apakah hanya syarikat bukan Melayu sahaja mampu dan berkelayakan mengambil alih PLUS?

Dan kalau mahu mengekalkan kepada Khazanah, tidakkah ia satu perbuatan tidak menghormati Perdana Menteri yang membuat keputusan kerajaan tidak akan terlibat dalam perniagaan?

Turut menjadi persoalan adakah langkah untuk mengekalkan PLUS di bawah Khazanah melalui Kumpulan UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah satu tindakan yang bijak.

Kalau kita imbas kembali pengambilalihan PLUS pada 2011. UEM dan KWSP mengambil alih aset dan liabiliti dengan nilai RM23 bilion dan kini selepas lapan tahun hutang PLUS kini mencecahkan RM30.2 bilion yang mana RM11 bilion dijamin kerajaan.

Oleh itu wajarkah Khazanah melalui UEM atau KWSP perlu meneruskan pegangan dalam PLUS yang kita yakin ia akhirnya membebankan kerajaan.

Seperti mana penegasan Perdana Menteri kenapa beliau berpendapat kerajaan tidak wajar terlibat dalam perniagaan berisiko.

Kesimpulannya, Khazanah perlu melepaskan kepentingan dalam PLUS, tidak perlu berdolak-dalih, berilah peluang kepada konglomerat Melayu dan anak tempatan menjaga aset strategik tersebut demi kepentingan rakyat.

Apatah lagi  dalam kalangan pembida tersebut ada konglomerat Melayu yang disahkan dan disokong oleh institusi kewangan tempatan mengemukakan cadangan yang bernas serta mempunyai kemampuan mengambil alih PLUS. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button