fbpx
Rencah Hidup

Pak Ya tukang gunting rambut Tuanku Raja Perlis

Ketika mula-mula belajar menggunting rambut 48 tahun lepas, Keria Seman tidak pernah terfikir akan menjadi tukang gunting rambut kepada Tuanku Raja Perlis.

Pada awalnya, Keria, 70  mengikuti kelas gunting rambut  anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis pada tahun 1972 hanya sekadar suka-suka sebelum menyertai Pasukan Askar Wataniah di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada tahun yang sama.

Namun sesuatu yang tidak pernah diimpikannya itu menjadi kenyataan pada tahun 2014 apabila menerima titah daripada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk menggunting rambut baginda.

“Pada mulanya rasa kekok dan takut untuk saya melaksanakan tugas itu, tetapi atas titah tuanku saya tabah hati bagi memenuhi titah baginda,” katanya kepada Bernama di  kedai gunting miliknya di Lorong Wan Abdullah dekat sini baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya, Keria yang mesra dengan panggilan Pak Ya berkata pada satu petang beliau didatangi oleh seorang petugas Istana Tuanku Raja menyampaikan titah tuanku bagi menggunting rambut baginda.

Keria adalah antara beberapa tukang gunting lama di Perlis tetapi masih mampu berdiri berjam-jam setiap hari untuk menggunting rambut para pelanggan.

Sejak tarikh itu, tiap sebulan sekali beliau tetap ke istana tuanku untuk menggunting rambut baginda dan tugas itu dilakukannya hingga sekarang.

“Sekarang saya tidak kekuk lagi untuk mengadap dan menggunting rambut tuanku kerana tuanku seorang raja yang peramah dan berjiwa rakyat,” katanya.

Di samping sebulan sekali menjalankan tugas di istana, beliau juga tetap ke kedainya setiap hari kecuali hari Ahad untuk menunggu pelanggan setia mulai pukul 9.00 pagi hingga 7.00 petang dan rehat antara pukul 1.00 tengah hari hingga 3.00 petang.

“Setiap pelanggan dewasa dikenakan bayaran RM10 seorang untuk upah menggunting dan cuci muka sementara bagi upah gunting rambut sahaja dikenakan bayaran RM8.

Katanya bagi pelanggan murid sekolah rendah pula bayaran yang dikenakan antara RM4 ke RM5 seorang dan pelajar sekolah menengah antara RM6 ke RM7 seorang mengikut saiz badan mereka.

“Saya bersyukur kerana ditakdirkan hidup sebagai seorang tukang gunting kerana dapat mengenali ramai orang tanpa mengira bangsa, agama mahupun pangkat,” katanya.

Keria berkata beliau tidak bosan melakukan tugas harian kerana dapat berkongsi pelbagai maklumat dengan pelanggan.

“Biasanya pelanggan ajak borak pelbagai isu antaranya politik, ekonomi dan semasa, dari situ Pak Ya dapat berkongsi maklumat dan kenal ramai orang tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India mahupun Siam,” katanya,

Keria berkata beliau akan terus menggunting rambut selagi sihat walaupun disahkan menghidap penyakit kecing manis baru-baru ini.

“Kerja menggunting rambut telah sebati dalam diri Pak Ya  dan saya akan teruskannya selagi sihat,” katanya.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button