Berita

Keprihatinan McDonalds dizahirkan dengan pembayaran zakat

Penyerahan zakat perniagaan McDonald’s Malaysia kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM100,000 merupakan tanda keprihatinan dan sikap ambil berat McDonald’s Malaysia terhadap golongan yang memerlukan di negeri ini.

‘Sudah pasti dengan wang zakat ini dapat membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bagi meneruskan kehidupan mereka pada fasa penularan wabak yang sukar ini’.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program berbasikal amal MAIPs bersama Mc Donalds Malaysia yang disekalikan dengan kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke 17 bagi tahun 2022 di sekitar Utan Aji.

Hadir sama, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar dan Pengarah Perhubungan Kerajaan, McDonald’s Malaysia Datuk Seri Mohammed Nasir Rakhir.

Baginda amat berbangga dengan pihak pengurusan McDonald’s Malaysia yang bukan hanya mampu menunaikan zakat perniagaan mereka tetapi turut berjaya melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dalam menyantuni barisan hadapan, golongan asnaf, dan mereka yang memerlukan sepanjang tahun lalu.

Azmir pula menyatakan bahawa beliau bersyukur kerana hasil dari sokongan masyarakat, Mc Donalds Malaysia berupaya untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam melaksanakan bayaran zakat korporat. Diharapkan juga dengan penyampaian Zakat Korporat McDonald’s ini akan mengukuhkan lagi sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama McDonald’s

Sempena program tersebut juga diadakan perasmian projek peningkatan sosio ekonomi asnaf MAIPs oleh Tuanku Raja Muda berupa perniagaan kerepek pisang yang diusahakan oleh Noorazlan Shah Noordin dari No 100A Kampung Guar Ujong Batu dan turut berniaga di salah satu destinasi rekreasi dan pelancongan popular terbaru negeri ini iaitu Viewpoint Gunung Medan. Beliau menerima peralatan untuk bengkel kerepek daripada MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bernilai RM 1,000 dan juga balang ‘Jumbo’ untuk keperluan mereka.

Terdahulu daripada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih terdiri daripada Mohamad Shahril Abdullah, Mohamad Adzlan Dahaman dan Fauziah Darus.

GALERI

(Visited 302 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button