NasionalParlimen

Pak Lah terima tanah bernilai RM76.4 juta daripada kerajaan

Jasa Pak Lah kepada kerajaan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi  dikurniakan sebidang tanah bernilai RM76.4 juta.

Beliau berkata, Abdullah merupakan satu-satunya bekas perdana menteri yang dikurniakan sebidang tanah itu atas jasanya kepada kerajaan.

Abdul Latiff berkata demikian dalam jawapan bertulis beliau kepada Pang Hok Liong (PH-Labis).

Kata Abdul Latiff lagi, jemaah Menteri pada 16 Jun 2009 telah meluluskan pemberian tanah tersebut di Persiaran Tuanku Ja’afar kepada Abdullah.

Untuk rekod, Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri bermula pada tahun 2003 hingga 2009.


Abdul Latiff berkata, tanah yang diberikan kepada Abdullah itu berkeluasan 155,290.94 kaki persegi.

Berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), tanah itu berharga RM76.4 juta manakala hartanah yang dibina di atasnya dinilai RM7.24 juta.

Sebelum ini, Dewan Rakyat diberitahu bahawa Putrajaya menerima permohonan daripada pengganti Abdullah, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan sebidang tanah dan rumah yang didakwa bernilai RM100 juta.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan permohonan itu pada 18 November tahun lalu susulan khabar angin yang tular di media sosial sehingga menyebabkan kekecohan dalam Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen pembangkang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Najib.

“Wang yang dicuri diberikan semula,” kata Mahathir sambil menambah, permohonan itu perlu dijelaskan.

Najib kemudiannya menarik balik permohonannya untuk mendapatkan tanah dan rumah itu dan berkata beliau tidak mahu ia dijadikan isu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu. – FMT – SM

 

(Visited 970 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button