NegeriRencah Hidup

Pak Ali Roti Canai Terbang di Beseri, Perlis sedia 70 jenis roti canai untuk dipilih

KALAU ingin makan atau membeli roti canai, pelanggan akan ditanya mahu jenis biasa, telur atau sardin.

Tapi berlainan pula kalau peminat roti canai berkunjung ke kedai Pak Ali Roti Canai Terbang di Kilometer 14, Jalan Kaki Bukit, Padang Besar, Perlis.

Ada 70 jenis roti ranai yang boleh dipilih dan tujuh jenis murtabak.

Bacalah satu persatu, pilih yang mana suka, sambil tunggu boleh melihat persembahan Pak Ali atau nama sebenar Muhamad Ali Nordin, 42 sibuk menebar roti canai sambil melayang-layang di udara.

Kalau pelanggan membawa anak-anak, pastinya boleh berada lama tanpa merengek.

Cerita Pak Ali yang berasal dari Baling, Kedah dan kini menetap dan membuka perniagaan di Beseri, Perlis ini, dia mula minat menebar roti canai semasa berusia 13 tahun lagi.

Hidup susah menyebabkan dia berhijrah ke ibu kota Kuala Lumpur pada usia ini untuk bekerja di kedai makan.

“Saya sangat minat untuk belajar menebar roti canai, tetapi sayangnya pekerja di situ enggan menunjuk ajar,” katanya.

Katanya, kebetulan di kedai itu banyak cermin dan dia dari situ mencuri-curi belajar.

“Sebab itu sampai sekarang saya membuat roti bagai seorang kidal,” ujar bapa kepada dua anak ini.

Lebih menarik lagi kata Ali, dia membuat latihan menebar roti canai di dalam bilik air ketika mandi dengan menggunakan kain tuala yang dipotong bulat untuk menebar.

Sampai sekarang, Ali memberitahu, beliau masih berlatih menggunakan kain berbentuk bulat supaya mengekalkan kecekapan bila membuat roti canai terbang.

Sekalipun lama mengumpul pengalaman membuat dan menebar roti canai akhirnya pada tahun 2019 baharu beliau yakin untuk membuka kedai sendiri.

Disebabkan itu Ali berani menawarkan sehingga 70 jenis roti canai.

Beliau kemudiannya menambah murtabak selepas beberapa bulan dibuka bagi memberi peluang kepada peminat makanan ini yang biasanya dijual bulan Ramadan.

Ali memberitahu, daripada puluhan jenis roti canai ini antara yang paling mendapat sambutan adalah roti tisu dan sarang burung.

Katanya, setakat ini setiap jenis roti canai dan murtabak hanya dinaikkan antara 30 hingga 50 sen sahaja.

Ali memberitahu beliau hanya menggunakan 25 kilogram tepung untuk perniagaan yang buka mulai 8 pagi hingga 12.30 tengah hari dan jumlah yang sama juga mulai pukul 4.30 petang hingga 12 malam setiap hari kecuali Jumaat. – SM

(Visited 4,290 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button