Nasional

Pajakan helikopter termasuk kontrak senggaraan, sesuai kedudukan kewangan negara

Kaedah pajakan yang digunakan bagi perolehan 28 buah helikopter bernilai RM16.6 bilion untuk kegunaan pasukan pertahanan dan keselamatan adalah untuk menghadapi cabaran ketersediaan aset strategik negara yang rendah akibat kekangan kewangan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ketersediaan aset strategik merupakan isu kritikal timbul akibat faktor ketidakupayaan kerajaan untuk memodenkan atau membeli aset yang diperlukan itu secara terus.

“Jika kita berkeras untuk memperoleh aset melalui pembelian secara terus, tidak mustahil kita terpaksa menunggu terlalu lama atau mungkin kita sebenarnya tidak akan mampu mempunyai aset strategik yang diperlukan negara sampai bila-bila.

“Sedangkan jika memilih pendekatan pajakan, kerajaan tidak perlu membayar pendahuluan, bayaran kemajuan atau mengeluarkan perbelanjaan modal (capex).

“Di bawah kontrak pajakan, kerajaan akan hanya mula membayar komitmen apabila sudah menerima dengan sempurna helikopter yang dibekalkan kelak… itu pun bayaran (dibuat) secara bulanan mengikut kegunaan dan dipecahkan sepanjang tempoh 15 tahun,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Mohamad Khaled berkata, kerajaan memilih kaedah perolehan secara pajakan disebabkan faktor kemestian bagi pihak syarikat untuk memberi jaminan tahap ketersediaan pesawat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button