Nasional

KKM sedia bentang kawalan produk merokok

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersedia untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam, yang merangkumi dasar Generational EndGame (GEG), semasa mesyuarat kedua yang sedang berlangsung bagi sesi kedua Parlimen ke-15.

Penasihat Khas Menteri Kesihatan, Dr Helmy Haja Mydin, berkata rang undang-undang itu amat penting bagi melindungi kesihatan generasi muda dan ia merangkumi dua aspek utama iaitu kawalan produk merokok termasuk vape dan e-rokok serta pelaksanaan Dasar GEG.

“Dasar GEG hanya untuk larangan membeli dan menggunakan, kerana larangan menyimpan dan memiliki rokok atau produk vape telah digugurkan (daripada rang undang-undang) atas saranan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Larangan itu akan terpakai kepada semua termasuk generasi muda yang lahir mulai 2007 dan seterusnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berkata rang undang-undang itu termasuk kawalan ke atas pendaftaran, pengiklanan, promosi dan penajaan, pembungkusan dan penjualan produk merokok.

“Sebarang pelanggaran termasuk penjualan rokok kepada kanak-kanak dalam kumpulan GEG akan menjadi satu kesalahan apabila rang undang-undang itu diluluskan,” katanya.

Dr Helmy, yang juga perunding pernafasan di Hospital Pantai Kuala Lumpur, berkata Jawatankuasa Pilihan Khas juga telah bersetuju dengan beberapa pindaan berkaitan larangan ke atas mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya.

“Antara saranan mereka ialah pengurangan denda daripada RM5,000 kepada RM500 bagi mengelak membebankan kumpulan GEG.

“Selain itu, perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan merokok yang dilakukan oleh GEG juga sedang diperkenalkan dan akan dikuatkuasakan apabila undang-undang digubal. Perintah ini bertujuan untuk mendidik dan menunjukkan bahawa dasar itu bukan menghukum semata-mata,” katanya. -SM

Baca juga : Minggu perpaduan negara sebar semangat kebersamaan, PM

 

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button