Nasional

Pahang belum laksana PKPB, muktamad keputusan Jumaat ini

KERAJAAN Pahang perlu memperhalusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok, untuk disesuaikan dengan keadaan semasa negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ketetapan berhubung pelaksanaan PKPB di Pahang akan dimuktamadkan pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang dijadualkan petang Jumaat depan (8 Mei).

“Sehingga keputusan (berhubung pelaksanaan PKPB) dibuat, semua ketetapan yang diputuskan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah masih kekal di Pahang.

“Kerajaan negeri menyokong pengumuman PKPB, namun perlu mengkajinya terlebih dahulu. Pahang juga kini menghadapi kluster baharu (COVID-19) yang memerlukan tumpuan khusus bagi menanganinya,” katanya.

Wan Rosdy juga menyifatkan pendirian untuk memperhalusi pelaksanaan PKPB itu perlu bagi memastikan tiada penularan baharu wabak COVID-19 berlaku apabila sektor ekonomi dan sosial di Pahang dibenarkan beroperasi.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula secara terkawal dan berhati-hati, tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula semalam, mengesahkan pihaknya mengesan kluster baharu COVID-19 di Lanchang, Temerloh dekat sini yang melibatkan enam individu daripada sebuah pusat tahfiz.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB bermula pada 4 Mei dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan kembali beroperasi.

Namun ia tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Perdana Menteri Yassin berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurutnya, perkara itu juga diputuskan nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Namun, masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi.

Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.- BERNAMA 

(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button