Nasionalpilihan

Projek RTB terbengkalai punca Sungai Rambai terus dilanda banjir

KELEWATAN menyiapkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang dekat sini yang tertangguh hampir enam tahun lalu menjadi punca utama berlakunya banjir di 13 kawasan sekitar daerah ini.

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, projek yang terbengkalai sejak 2017 dan hanya siap 40 peratus menyebabkan banyak kawasan yang tidak pernah dilanda banjir kini berdepan bencana itu baru-baru ini.

Menurut beliau, situasi itu juga melihat lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai berbanding hanya dua sebelum ini serta menjejaskan hampir 5,000 penduduk.

“RTB ini sepatutnya dilaksanakan dengan baik tetapi tidak dapat dibuat mengikut spesifikasi dan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini terbukti apabila kontraktor yang terbabit dengan projek RTB berdekatan Lebuh AMJ- Kesang Laut telah menarik diri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Projek Khas tidak mengambil tindakan segera.

“Keadaan itu menyebabkan projek RTB terbengkalai selama enam tahun. Jika projek ini dapat disiapkan mengikut jadual tidak mungkin banyak kawasan di Sungai Rambai dilanda banjir,” ujarnya kepada pemberita di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bemban, semalam.

Hasan yang juga bekas ADUN Sungai Rambai berkata, sepatutnya satu aliran sungai lain bersebelahan sungai Kesang dibuat bagi menyalurkan limpahan air terus ke laut tetai ia gagal disiapkan.

Keadaan itu katanya, menjadi punca utama berlakunya banjir ekoran hujan lebat pada Jumaat menyebabkan sebanyak 149 keluarga membabitkan 557 orang ditempatkan di 13 PPS yang dibuka setakat hari ini.

Selain itu katanya, fenomena air termenung turut memburukkan keadaan walaupun hujan tidak turun namun air terperangkap kerana tidak ada sistem pengaliran ke laut.

Justeru beliau berharap pihak JPS negeri perlu menyambung kembali projek tersebut selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad lalu. – SM

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button