Nasional

Dr. Mahathir `pasti malu alah’ jika masih sekongkol dengan DAP, PKR

PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad dipercayai akan berasa malu alah sekiranya masih terus bersekongkol dengan PKR dan DAP.

Ia sekali gus menyebabkan usul undi tidak percaya pembangkang terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sukar dilaksanakan.

Pakar undang-undang dan perlembagaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, jika pentadbirannya berkesan dan jujur, Muhyiddin dan barisan Kabinetnya diyakini akan terus diberi sokongan mentadbir negara khususnya dari cara pembelaan terhadap rakyat yang berkesan pada musim cemas COVID-19 ketika ini.

Apatah lagi, kata beliau, dari anggaran kasar, jumlah asas penyokong kerajaan ialah 116 -120 undi daripada 222 ahli Dewan Rakyat dengan kini secara kebetulan pula Melayu-Islam berkuasa.

“Justeru usul undi tak percaya saya tak menduga akan berjaya. Penerimaan positif rakyat, insya-Allah dalam tangan (Muhyiddin).

“Rakyat suka pemimpin yang senang dibaca kaedah dan pendiriannya. Keprihatinan Tan Sri Muhyiddin demi rakyat dalam musim mencabar ini sudah terang dan nyata.

“Mereka tak suka falsafah politik tinggi melangit. Mereka tak suka teka-teki politik mengikat leher sendiri. Mereka suka politik tolong rakyat.

PENGHANTAR MAKANAN
MUHYIDDIN YASSIN

“Tapi rakyat juga suka tengok ketegasan yang terkandung dalam peribahasa “takut kerana salah, berani kerana benar.” Kalau salah atau benar belum putus, bicara dulu,” kata beliau yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Mengenai desakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya Perdana Menteri memanggil segera sidang Parlimen bagi membincangkan isu pandemik COVID-19 yang melanda negara, Rais berkata, selaku ketua kerajaan, Muhyiddin ada kuasa penentu bila persidangan Dewan Rakyat diadakan.

Ia dengan syarat antara satu persidangan dan persidangan mendatang tidak melampaui enam bulan.

“Pembangkang (DAP, PKR dan Parti Amanah) suka kepada persidangan segera, lantaran mereka berpeluang menimbulkan pelbagai persoalan dan keadaan kacau. Ibarat ikan sembilang suka pada air keruh.

“Sebaliknya Muhyiddin sebagai Perdana Menteri baharu (angkat sumpah 1 Mac lalu) mempunyai pilihan masa dan penentu usul yang hendak ditangani termasuk usul tak percaya terhadap kerajaannya akibat cercaan kerajaan ‘pintu belakang’ dan sebagainya.

“Dan hakikatnya jika Dr. Mahathir tak letak jawatan sebaga Perdana Menteri pada 24 Februari lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih berdaya hidup hari ini. Pendirian Dr Mahathir sedemikian menyebabkan Muhyiddin terpaksa cari jalan munasabah mengekalkan kuasa yang pada awalnya direstui Muhyiddin,” kata beliau.

Tambah Rais lagi, kerajaan “pintu belakang” cuma sifat kata perli politik kononnya kerajaan Muhyiddin tidak ditauliah rakyat.

Ini kerana apabila rakyat mengundi, mereka memilih dua elemen iaitu pertama, parti dan kedua, calon.

Dua entiti itu, kata beliau, tidak boleh dipisah, ditambah lagi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas adalah `dirujuk’ sebagai pemilihan PKR dengan calon-calon majoritinya yang dikenali rapat oleh rakyat.

“Bahkan, secara teknikalnya rakyat tak pilih PH masa itu sebab lambang dan gabungan PH belum didaftar. Mereka terpaksa pinjam simbol PKR. Di Sarawak, mereka pilih Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan di Sabah, Parti Warisan.

“Masa itu PH belum didaftar akibat mainan kuasa ketika itu. Jadi, bila kini Muhyiddin dengan memenuhi syarat perlembagaan (Perkara 40 dan 43), dengan restu rasmi Yang di-Pertuan Agong, maka kedudukan kerajaan pimpinannya sah dari segi undang-undang negara,” kata beliau.

Kata Rais:
“Cuma yang dimanikkan ialah perwakilan UMNO, Pas, MCA dan MIC, bukan parti-parti yang menang tetapi calon-calon mereka menang melebihi 50 kerusi. Apa yang dibuat Muhyiddin ialah Kerajaan Campuran (Coalition Government).

“Semasa pimpinan Dr Mahathir pun lebih 12 anggota UMNO sudah lompat pagar UMNO. Itupun gerbang belakang. Sepuluh anggota PKR pula sama-sama berkompromi masuk Bersatu semasa Dr Mahathir masih bersama memimpin Bersatu

“Kemasukan Pas ke dalam gelanggang Kerajaan Campuran menegakkan kuasa politik Melayu-Bumiputera. Itu hak mereka. Masuk keluar parti sudah diiktiraf mahkamah negara ini dan juga Komanwel sebagai hak masing-masing individu.

“Hal-hal ini memang akan jadi modal bahasan hangat namun sebagai soldadu dan laksamana politik yang sudah matang, Muhyiddin dan pengikutnya boleh tangkis ini semua dengan syarat Muhyiddin ada bilangan lebih besar daripada pembangkang.”

Mengenau kemungkinan Speaker Dewan Rakyat dan timbalannya berkonflik semasa Dewan Rakyat bersidang 18 Mei depan, kata Rais, ia tidak mungkin berlaku dan tidak harus dibiarkan.

“Kalau Speaker yang kini boleh buat kerja secara telus dan tidak berat sebelah, agaknya kerajaan boleh teruskan khidmat beliau. Namun ini juga bergantung kepada kemungkinan kuasa undi di Dewan Rakyat,” kata beliau. – SM

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button