Luar Negara

Padah sorok empat anak kucing dalam seluar

TINDAKAN seorang lelaki yang menyembunyikan empat ekor kucing dalam seluarnya bagi tujuan menyeludup haiwan peliharaan itu dari Malaysia mengundang padah.

Akibat tindakan itu, Justin Ng Chin Boon didakwa di mahkamah dan berhadapan 15 pertuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung kerana membawa masuk anak-anak kucing berkenaan.

Kejadian tersebut didakwa dilakukannya ketika melalui pintu sempadan pemeriksaan imigresen di Tuas pada tengah malam 2 Januari lalu.

Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila empat anak kucing itu dikesan selepas bunyi ‘mengiau’ didengari pihak berkuasa negara republik itu.

Malah, pemandu kereta yang dinaiki Chin Boon itu, Leow Hua Liang dan seorang wanita lagi turut didakwa kerana membantu penyeludupan.


Menurut dokumen mahkamah, dia didakwa cuba menyeludup haiwan-haiwan tersebut dalam “keadaan pengudaraan yang lemah dan kawalan suhu yang buruk”.

Memetik laporan Malaysiakini, Leow, 42 tahun, yang juga merupakan seorang warga Singapura, menghadapi 17 tuduhan dan didakwa membantu penyeludupan dengan memandu kereta yang dinaiki Ng.

Tidak jelas bagaimana mereka saling mengenali antara satu sama lain, lapor berita.mediacorp.sg.

Sebelum ini, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan para pegawainya mengesan beberapa ekor anak kucing di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Mereka melakukan pemeriksaan lanjut selepas terdengar bunyi mengiau dari seluar Ng, tambah ICA.

Kedua-dua lelaki itu dipercayai tidak mengisytiharkan kucing-kucing tersebut kepada para pegawai kastam.

Ng dan Leow juga berdepan tuduhan beberapa kali menyeludup haiwan keluar masuk dari Singapura.

Sebelum ini Leow dipercayai mengeksport dua ekor burung dari Singapura ke Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Tuas dengan menyembunyikan burung-burung itu dalam kantung duit syiling berzip di panel pintu pemandu.

Dia dan Ng juga dituduh membantu Leong Sok Boy, seorang wanita berusia 71 tahun,  mengimport tujuh ekor kucing ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas pada 11 Ogos 2018.

Haiwan-haiwan itu disembunyikan dalam beg tangan atau beg kanvas plastik. Bagi kesalahan tersebut, ketiga-tiga tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah pada 27 Januari depan. – SM

(Visited 88 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button