Nasional

Kes tular Proton Waja rempuh lori dan Myvi, polis buru ‘Bob Mah Sing’

POLIS memburu lelaki yang dikenali sebagai Bob Mah Sing susulan kes pemandu kereta Proton Waja yang merempuh sebuah lori dan Perodua Myvi untuk elak ditahan polis.

Suspek berusia 40-an itu merupakan rakan kepada suspek pertama iaitu pemandu kereta yang berjaya ditahan.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kedua-dua suspek sebelum itu enggan memberi kerjasama ketika diminta untuk memberhentikan kenderaan.

“Kedua-duanya daripada Kg. Desa Aman dan setibanya di lampu isyarat berhampiran bulatan Sierramas, suspek telah diarahkan untuk keluar dari kenderaan.

“Kedua-dua mereka enggan berbuat demikian dan merempuh kenderaan yang berada di hadapan dan belakang untuk meloloskan diri.

“Kita telah melepaskan tembakan ke arah tayar hadapan kereta suspek sebelum mereka melarikan diri ke arah Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh sebelum kedua-duanya meninggalkan kereta di tepi jalan ekoran tayar yang pancit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil maklumat orang awam, suspek yang berusia 35 tahun telah ditahan kira-kira 1 kilometer dari lokasi kereta ditinggalkan.

Ujarnya, polis turut menemukan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 1.7 gram yang ditinggalkan kedua-dua suspek.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek yang ditahan mempunyai lapan rekod kes jenayah melibatkan dadah.

“Suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307, 427, 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” jelasnya.

Dalam pada itu, sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan Bob Mah Sing boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Chew Yong Hua di talian 014-3929448. -SM

(Visited 2,239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button