Nasional

Pada bonda nama keluarga amat penting – Najib

ISTIADAT Pengebumian Negara yang diangerahkan kerajaan kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah akan menjadi kenangan manis buat keluarga Perdana Menteri kedua Allahyarhan Tun Abdul Razak.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penganugerahan itu juga merupakan penghormatan istimewa kepada keluarga negarawan tersebut.

“Terima kasih kepada kerajaan atas keputusan untuk menganugerahkan pengkebumian negara kepada bonda saya Tun Hajah Rahah.

“Ini sudah tentu penghormatan yang teristimewa dan saya percaya akan menjadi kenangan manis kepada keluarga Tun Razak,” kata Najib.

Najib yang merupakan anak sulung kepada pasangan Tun Abdul Razak dan Tun Rahah berkata, ibunya semasa hidup selalu mengingatkan beliau untuk menjaga nama keluarga.

Justeru, Tun Rahah sentiasa berpesan kepadanya untuk melakukan pekerjaan dengan penuh dedikasi.

“Sebelum ini allahyarhamah bonda saya memang sentiasa mengingatkan kepada saya untuk menjalankan kerja sebaik-baiknya dengan penuh dedikasi sebab pada bonda saya nama keluarga itu adalah amat penting untuk terus dipertahankan.

“Walaupun dalam politik memang tidak dapat elak daripada kecaman tetapi kebenaran insya-Allah akan muncul lambat laun. Insya-Allah,” kata Najib.

Najib berkata, Tun Rahah merupakan seorang ibu yang cukup penyayang dan baik hati.

Tun Rahah yang menjadi tongak keluarga selepas pemergian Tun Razak pada 14 Januari 1976 telah mendidik dirinya dan empat adiknya yang lain dengan begitu sempurna sehingga setiap daripada mereka telah mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

“Bagi kita amat sukar kehilangan seorang ibu sudah tentu kami semua amat sedih tetapi kami reda ketentuan Ilahi.

“Maknanya bonda saya telah melalui kehidupan selama 87 tahun telah mencapai kemuncak dalam hidupnya dan juga telah menyaksikan anaknya membesar dan telah sedikit sebanyak merasakan kepuasan atas apa yang telah kami lalukan,” katanya.

Menurut Najib banyak kenangan manis dengan ibunya yang tidak dapat dilupakan.

Namun antara kenangan yang paling diingati adalah bagaimana Rahah memberi sokongan terhadap keinginannya untuk memasuki bidang politik ketika berusia 22 tahun.

“Banyak kenangan yang indah dan manis terutama sekali bila saya hendak mula-mula cebur diri dalam bidang politik pada umur 23 tahun. Belum cukup 23 tahun.

“Tapi bonda saya beri saya sokongan dan menyerahkan kepada saya apa sahaja keputusan yang saya buat bonda saya akan menyokong dan akan memberi bantuan moral kepada saya dan kasih sayang untuk saya berjaya dalam bidang politik,” cerita Najib.

Najib turut menjemput rakya untuk hadir majlis tahlil yang akan diadakan selama seminggu di Masjid al-Rahah.

Tun Rahah mendirikan rumah tangga dengan Tun Abdul Razak pada usia 19 tahun pada 4 September 1952 sebaik tamat persekolahan di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Bahru, Johor.

Ketika itu, Tun Abdul Razak berusia 30 tahun dan berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Hasil perkahwinan itu, pasangan itu dikurniakan lima putera iaitu Datuk Seri Mohd Najib, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam, Datuk Seri Mohd Nazir dan Datuk Mohamed Nazim.-SM

(Visited 423 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button