Nasional

Tempoh pendaftaran Jaringan Prihatin dilanjutkan hingga 31 Ogos

TEMPOH pendaftaran dan penebusan pakej peranti program Jaringan Prihatin iaitu inisiatif di bawah Belanjawan 2021 bagi mendapatkan bantuan perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perlanjutan tersebut akan membolehkan pemohon Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang baru diluluskan untuk berdaftar dengan Jaringan Prihatin

“Selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 Fasa 1 dan juga tempoh rayuan bagi permohonan BPR, tarikh akhir pendaftaran dan penebusan untuk Program Jaringan Prihatin akan dilanjutkan selama satu bulan iaitu sehingga 31 Ogos 2021.

“Tempoh perlaksanaan program juga akan dipanjangkan, sehingga 31 Ogos 2022,” katannya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Jaringan Prihatin telah ditambahbaik di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Semua penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) layak mendapatkan bantuan Jaringan Prihatin bagi perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih melalui 12 syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian.

Program bernilai RM3.5 bilion itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Mei lalu.

Setakat 22 Jun pendaftaran bagi program tersebut telah mencecah 2.8 juta dan lebih daripada 500 ribu penerima telah menerima peranti mudah alih baharu.

Secara keseluruhan hampir RM180 juta telah disalurkan kepada golongan B40 melalui program Jaringan Prihatin bagi mengurangkan kos kumpulan itu untuk mendapatkan akses internet dan membantu melancarkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) bagi isi rumah yang mempunya anak bersekolah.

Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, unifi Mobile, XOX Mobile, YES dan Yoodo adalah syarikat yang terbabit dalam program Jaringan Prihatin.-SM

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button