Rencana

Orang benar-benar kaya dan budak baru nak up kantoi dengan SPRM

DUA tiga hari ini heboh bapa kepada segala scammer yang kantoi dicekup oleh SPRM. Rupa-rupanya artis-artis Malaysia yang kemaruk hidup mewah juga tidak terlepas daripada terjerat dengan kegiatan itu.

Patutlah lepas satu demi satu artis Malaysia ini asyik menayang kekayaan mereka di media sosial ibarat beruk dapat cincin, si kudung dapat cincin.

Dengan berniaga air dan minuman tonik kebugaran artis-artis ini menjadi sangat kaya mengalahkan taukeh syarikat perkapalan terbesar di dunia.

Tapi memang betullah bila duit panas ini ia membuatkan pemegangnya tidak dapat diam, kepanasan mesti mahu menunjuk-nunjuk.

Mengimbas balik kes Aman Shah yang mencuri duit dari akaun orang akhirnya terdedah apabila dia juga menayang kereta mewah miliknya.

Bapa scammer dan macau scam ini pun sama kantoi setelah menayang berpesta mengalahkan tokan dadah terbesar dunia.

Mereka ini tidak pernah mengambil iktibar. Jadi siapa yang betul-betul kaya di negara ini. Yang betul-betul kaya tentulah yang disenaraikan oleh Forbes.

Antara Melayu yang kaya tersenarai dalam Forbes ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary atau dipanggil Pak Tuan dan anak Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Mokhzani.

Sebagai wartawan saya pernah melihat Mokhzani letak kenderaan di luar pagar rumahnya dan berjalan masuk tanpa pengawal atau pemandu. Ketika itu saya sedang menunggu untuk menemubual Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Kebetulan rumah mereka bertentangan jika tidak silap.

Syed Mokhtar pula tidak banyak kisah yang dilaporkan tentang beliau. Hanya Utusan Malaysia yang pernah menyiarkan kisah taikun Melayu itu. Itupun daripada interview rakan rapatnya.

Selain penulis buku biografi Syed Mokhtar yang pernah mendapat interview ekslusif.

Yang lain hanya cerita daripada mereka yang pernah berurusan dengan beliau, termasuk jika mahu berurusan dengan Syed Mohkhtar adalah pada sebelah malam di sebuah restoran di ibu negara.

Selain itu cerita anak-anak yatim yang dipelihara oleh taikun itu melalui yayasannya. Dari cerita yang dikutip Syed Mokhtar hanya menggunakan kereta Proton Perdana generasi pertama dan memakai beg kulit yang lusuh.

Dia juga hanya melawat anak-anak yatim ini pada tengah malam dan mereka hanya dapat melihat kelibatnya sahaja.

Syed Mokhtar juga dikatakan sangat patuh dan akrab dengan ibunya dan sering membawa anak-anak yatim makan-makan di rumah ibunya di Kedah.

Saya pernah terbaca Syed Mokhtar membelanja sekitar RM150,000 sebulan untuk menyelenggara masjid binanya. Nilai itu kira-kira belasan tahun dahulu, kini jumlahnya pastinya bertambah kerana begitu banyak masjid dibina beliau.

Syed Mokhtar juga tidak bermain golf kerana baginya ia mengambil masa yang terlalu lama dan tidak menafikan berminat untuk berpakaian mewah, tinggal di hotel mewah seperti orang kaya lain, tetapi beliau berpendirian kemewahan tidak akan ke mana-mana.

Sebenarnya di negara ini ramai jutawan senyap walaupun hanya dengan memelihara lembu dan kambing atau menanam pisang atau mengusahakan perniagaan lain.

Bagaimanapun mereka ini tidak seperti artis yang kaya mengejut dan kaki penipu yang hidup mewah keringat orang lain. Orang kaya sebenar adalah mereka yang berusaha dengan titik peluh dan keringat sendiri. Bertungkus-lumus untuk naik  selepas jatuh berkali-kali.

Sudah pasti untuk kaya perlu berniaga sendiri. Bagi mereka yang masih tercari-cari rentak untuk memulakan perniagaan, inilah masa yang paling sesuai. Mengapa sekarang? Jawapan mudah ketika kegawatan inilah segala kos menjadi murah termasuk gaji pekerja, sewa pejabat dan pelbagai dana bantuan disalurkan oleh kerajaan untuk mereka yang baharu menceburkan diri di dalam bidang perniagaan.

Jadi rebutlah peluang yang ada pada masa ini, jadi usahawan yang sebenar dan orang kaya yang sebenar-benarnya.

(Visited 844 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button