EkonomiNasional

Jumlah Deposit Cecah RM82 Bilion, Pengawalseliaan TH Di Bawah BNM Satu Solusi Interim

Kementerian Kewangan memaklumkan pengawalseliaan TH di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu solusi interim yang tidak akan mengubah sifat asal TH sebagai agensi unggul khususnya dalam pengurusan jemaah haji bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima.

TH tetap kekal melaksanakan fungsi Lembaga Tabung Haji seperti yang termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Selain itu, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Dari sudut TH pula, Lembaga Pengarah dan badan pengurusannya tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju TH, serta pengurusan dan operasi haji, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan juga memaklumkan bahawa usaha kawalselia TH dari sudut pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan oleh BNM ini adalah satu solusi interim yang akan dilaksanakan sehingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan selanjutnya.

Kementerian Kewangan berkata demikian dalam satu kenyataan mengulas kenyataan media YB Menteri Kewangan, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini.

Katanya, memandangkan TH menerima deposit daripada bakal jemaah haji dan orang ramai, dan kerajaan tetap menjamin wang simpanan pendeposit dalam TH di bawah Akta 535, maka amat wajar simpanan pendeposit ini dikawal selia dengan lebih baik untuk memastikan bakal jemaah haji akan dapat mengerjakan Rukun Islam kelima, dan TH dapat terus menjana pendapatan dari pelaburan yang patuh Syariah.

“Penambahbaikan kawalselia TH adalah selaras dengan hasrat kerajaan supaya TH kembali kepada mandat asal penubuhannya iaitu menguruskan simpanan pendeposit untuk tujuan menunaikan haji, di samping simpanan untuk pelaburan.

“TH merupakan sebuah institusi kewangan yang dianggap penting kepada sistem kewangan Malaysia, berikutan jumlah depositnya yang kini mencecah RM82 bilion dan saling hubung yang rapat dengan sistem kewangan, terutamanya sebagai pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam),” katanya.

Menurut kenyataan itu, penetapan kawal selia di bawah BNM yang masih berlandaskan konsep Syariah akan memantapkan tadbir urus dan memastikan tiada penyalahgunaan dana yang boleh memaksa kerajaan menggantikan wang pendeposit disebabkan jaminan kerajaan.

“Sebagai sebuah institusi yang berkait rapat dengan sistem kewangan negara (dan tentunya mempunyai kepentingan sistemik), kerajaan perlu memastikan agar kedudukan kewangan TH terus diperbaiki dan diperkukuh.

“Sehubungan itu, deposit mencecah RM82 bilion tersebut (10% daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam negara) perlu ditadbir dengan baik berteraskan konsep semak dan imbang, kerana sebahagian daripada deposit yang diterima ini diletakkan di institusi perbankan Islam,” katanya.

Kementerian Kewangan juga sedia maklum akan perbezaan mandat dan peranan TH berbanding institusi perbankan yang lain.

Justeru, Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa skop pengawalseliaan BNM pada waktu ini, sementara menunggu selesainya RCI, adalah tertumpu hanya kepada pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan, dengan rangka kerja pengawalseliaan yang berbeza dari peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button