fbpx
Nasional

Orang awam masih ingkar, beri alasan tidak munasabah

MASIH ramai orang awam yang ingkar dan mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 31 Mac, termasuk keluar bersiar-siar di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata hasil sekatan jalan raya yang dijalankan pihaknya mendapati rata-rata mereka memberi alasan tidak munasabah.

“Arahan kerajaan ini ialah untuk membendung penularan COVID-19, namun mereka tidak ambil berat, bersikap sambil lewa dengan menyatakan hanya keluar bersiar-siar, mahu membeli makanan seolah-olah ia tidak boleh didapati di kawasan mereka, mahu menghantar barang dan pelbagai alasan lain yang tidak munasabah.

“Kami bukan hendak menghukum tapi lebih kepada memberi peringatan kepada orang ramai bahawa perintah berkenaan sudah dikuatkuasakan dan tolong prihatin mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui Bernama, malam ini.

BERITA BERKAITAN:


Tinjauan Bernama mendapati pertambahan jumlah kenderaan keluar masuk ke ibu kota kira-kira 11 malam ini.

Dalam pada itu, sekatan jalan raya turut dilakukan di kawasan Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata sekatan jalan raya itu akan diadakan berterusan sepanjang tempoh perintah kawalan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata pihaknya menyampaikan hebahan kepada penduduk dengan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid sekitar Cheras supaya berada di rumah dan tidak keluar tanpa sebarang urusan penting.

“Rondaan anggota Unit Kereta Peronda juga dilakukan untuk memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak berada di luar kawasan kediaman mereka,” katanya. – BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button