Nasional

Ops Tiris: Penguatkuasa PKDN tahan dua lelaki seleweng minyak diesel

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi OPS TIRIS dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nombor di kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Lokasi itu disyaki dijadikan stor tempat  penyimpanan dan pemindahan minyak diesel pada 16 Mac 2023.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya yang bermula kira-kira pukul 4 pagi itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN selama dua minggu sebelum itu.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, dua  orang lelaki ditemui berada di dalam premis terbabit dipercayai sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 11,000 liter selain sebuah lori, beberapa tangki yang kosong dan berisi minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Pihak premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Minyak diesel, kenderaan lori, telefon bimbit, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang  ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM53,550.00,” katanya dalam kenyataan.

Dua individu lelaki itu salah seorangnya merupakan warga tempatan berumur 35 tahun yang juga mengaku sebagai pemandu lori berkenaan bersama seorang lagi individu bukan warga negara yang ditemui di dalam premis terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran
minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Menurut Azman, berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 sehingga 15 Mac 2023,  sebanyak 1,954 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh Negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 47 kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.07 juta.

“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan  Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel,” katanya.

Menurut beliau, jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Katanya, KPDN akan mempergiatkan operasi ke atas pihak-pihak lain yang terlibat melalui proses pengauditan bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ketirisan dan penyelewengan ke atas barangan kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak diesel ini dapat dibanteras  daripada terus berleluasa.

“KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa  kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti
haram ini.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan
bersubsidi bagi memastikan akti viti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan Negara,” katanya. –SM

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button